Ahad, 12 Februari 2012

Pembangkang Sengaja Cetus Kemarahan Rakyat Terhadap Kerajaan - Muhyiddin @ZambryAbdKadir


Pembangkang sengaja menggunakan isu inflasi dan kenaikan kos sara hidup dalam pelbagai kempen politik mereka untuk menimbulkan kemarahan di kalangan rakyat terhadap kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri. 

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tindakan pembangkang yang turut mendakwa kerajaan sebagai penyebab kepada kedua-dua perkara itu bertujuan meraih sokongan rakyat terhadap perjuangan politik mereka. "Mereka tidak habis-habis kata kerajaan sebagai penyebab kenaikan harga barangan supaya rakyat marah, kata kerajaan zalim, kejam. 

"Kenyataannya kita sudah bertindak dan kenaikan harga barangan berada dalam keadaan terkawal," katanya ketika berucap pada Program Bersama Rakyat di Sekolah Kebangsaan Kampung Bahagia di sini, Sabtu. Beliau menjelaskan bahawa Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang mempunyai dan menguatkuasakan undang-undang kawalan harga terhadap barangan keperluan.


"Tidak ada negara di dunia ini yang mempunyai kawalan terhadap harga bagi membendung kenaikan harga barang... di Singapura, mereka amalkan pasaran terbuka, di Thailand tidak ada kawalan terhadap harga beras, di Amerika mereka mengamal pasaran bebas," katanya. Beliau meminta rakyat supaya tidak menyalahkan kerajaan kerana pelbagai tindakan telah dilakukan bagi menangani masalah kenaikan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

"Di Selangor, Pulau Pinang, apa kerajaan di sana buat bendung kenaikan harga? Saya dimaklumkan oleh peniaga di Selangor sebagai contoh, harga bahan-bahan meningkat tinggi, kos perniagaan meningkat berbanding waktu kita (Barisan Nasional) tadbir. Kita berusaha bersungguh-sungguh supaya rakyat tidak dibebani masalah lain," katanya. 

Mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500, Muhyiddin berkata pembangkang mendakwa ia adalah 'rasuah' daripada kerajaan. "PAS kata ini tidak halal... kalau tidak halal jangan ambillah bantuan itu sebab pemimpin mereka kata ia rasuah... ada yang kata 'celah gigi' sahaja, tapi tak mengapa. Ini bantuan yang kita berikan, kita bantu untuk kurangkan beban rakyat," katanya. 

Menyentuh isu rasuah, Muhyiddin berkata kerajaan dan pimpinan Barisan Nasional (BN) amat memusuhi gejala rasuah dan tidak bersetuju terhadap sebarang perbuatan dan unsur-unsurnya. "Kita perkenalkan undang-undang baru termasuk mereka yang memberi maklumat diberi perlindungan. Dalam akhbar melaporkan banyak kes rasuah, ini bukan kerana kerajaan mahukan perkara sebaliknya ia menunjukkan kecekapan pentadbiran," katanya. 

Pada majlis yang dihadiri 20,000 rakyat daripada pelbagai lapisan itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM27 juta untuk pembinaan sebuah sekolah menengah di Kampung Bahagia di sini serta sejumlah peruntukan untuk pelbagai projek naik taraf di daerah Hilir Perak. Beliau turut menyampaikan replika cek bernilai RM118.54 juta Bantuan Rakyat 1Malaysia untuk 237,098 penerima di Perak kepada Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...