Sabtu, 24 Februari 2018

@Tengkuadnanreal Harap Calon BN #PRU14 Tidak Diumumkan Sebelum Dipersetujui Oleh @NajibRazak

Senarai Calon PRU 14 telah diserahkan untuk perhatian PRESIDEN

Senarai calon yang bakal mewakili UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) telah diserahkan kepada Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. 

Beliau berkata Najib dan Naib Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas Timbalan Presiden parti sedang dalam rangka bertemu semua ketua bahagian UMNO bagi memperhalusi senarai calon itu. 

“Ini untuk memastikan calon yang diberi adalah yang disukai rakyat, bukannya semata-mata pilihan parti atau individu tertentu,” kata Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan 

Sementara itu juga beliau berkata berdasarkan senarai berkenaan, peratusan calon muda dan berpengalaman adalah seimbang. Berhubung muka lama yang pernah tewas  dalam PRU sebelum ini tetapi berhasrat  bertanding semula pada PRU14, 

Namun Datuk Seri Tengku Adnan berkata  peluang masih terbuka dan kepada mereka yang ingin bertanding semula perlu mengemukakan alasan bagi kekalahan lalu dan bagaimana memenanginya pada PRU14. 

“Mereka boleh mempromosi diri sendiri tetapi perlu bersedia menerima hakikat sekiranya tidak dipilih kerana tindakan mempromosi dibuat mereka sendiri, bukannya oleh parti,” katanya. 

Tengku Adnan berkata UMNO mempunyai mekanisme tersendiri dalam menentukan calon pilihan raya selain tapisan oleh agensi tertentu seperti polis, Jabatan Insolvensi dan Suruhanraya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengenai tindakan parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan MIC yang dilihat terkedepan dalam mengumumkan calon PRU14 bagi kawasan tertentu berbanding UMNO, Tengku Adnan berkata ia mungkin disebabkan jumlah calon dan kerusi bagi parti terbabit adalah sedikit berbanding UMNO.

“Mereka boleh umum tetapi kita akur kepada saranan presiden agar ia tidak dilakukan sehingga pengumuman rasmi calon dibuat apabila tiba masanya,” kata Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...