Ahad, 29 Januari 2012

TPM: Panel Disiplin Umno Halusi 'Makna Sabotaj'


Jawatankuasa Disiplin Umno menimbang kemungkinan menambah bilangan anggotanya bagi membolehkan ia menubuhkan lebih banyak pasukan pemantau untuk menangani masalah disiplin, termasuk tindakan anggota mensabotaj parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Lembaga Disiplin Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail mengenai perkara itu. 


"Saya akan berjumpa dengan Pengerusi Lembaga Disiplin tentang sama ada kita menambah ahli lembaga kerana adalah agak sukar untuk kita melakukan pemantauan dengan hanya satu pasukan sahaja," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Kampung Kebun Baru, Jementah hari ini. 

Dipetik Bernama, beliau berkata Jawatankuasa Disiplin menimbang kemungkinan menambah keanggotaannya dengan melantik di kalangan anggota-anggota veteran Umno yang mempunyai masa. Semalam, Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Jawatankuasa Disiplin parti akan digerakkan awal bagi memantau dan bertindak terhadap anggota parti yang melakukan perbuatan khianat terhadap parti. 

Muhyiddin berkata, perbincangan dengan Lembaga Disiplin itu juga akan mendefinisikan dengan jelas makna dan perbuatan yang boleh dikategorikan sebagai mensabotaj parti sehingga menjejaskan kedudukan parti pada pilihan raya. Ini, kata beliau, bagi memastikan tidak ada anggota parti yang menjadi mangsa kepada tindakan fitnah oleh anggota parti. 

"Kita bersikap dengan adil bagi memastikan tidak ada pihak yang menjadi mangsa fitnah. Sebab itulah kita perlu teliti dan adil," katanya sambil menambah, mereka juga akan berbincang tentang bidang kuasa lembaga itu. 

Beliau menasihati anggota Umno supaya mengelak daripada terlibat dengan kegiatan yang boleh menjejaskan kedudukan parti sehingga mengakibatkannya mengalami kekalahan dalam pilihan raya umum. "Mereka yang terlibat dalam kegiatan itu akan dikenakan tindakan," katanya sambil menambah, anggota parti perlu memiliki sikap kesetiaan dan bertanggungjawab terhadap parti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...