Sabtu, 28 Januari 2012

PRU-13 Mungkin Tidak Akan Dilakukan Pada Bulan Mac Hampir 300,000 Orang Akan Terlepas Mengundi Jika Diadakan Pada Bulan Mac


LAGI dekat 'tarikh' Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), akan lagi banyak proses bantahan terhadap daftar pemilih. Meskipun tarikhnya itu masih belum pasti, namun daftar pemilih mutakhir suku keempat 2011 dan daftar pemilih suku pertama 2012 kini menjadi tumpuan parti-parti politik dan orang ramai di seluruh negara. Katakanlah Parlimen dibubarkan sekitar Mac dan April ini untuk memberi laluan kepada PRU-13, maka mereka yang mendaftar dalam suku keempat 2011 akan menjadi pengundi yang paling bernasib baik untuk menentukan pucuk kepimpinan negara masa depan. 

Tetapi bagi 300,000 orang yang baru berbuat demikian pada Januari, Februari dan Mac tahun ini, jawabnya - wasalam. Berdasarkan rekod terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dianggarkan kira-kira 300,000 berdaftar sebagai pengundi baru termasuk menukar alamat bermastautin dalam setiap suku tahun. Namun itu bukan bermakna apabila mereka berdaftar, terus serentak atau sekali gus disahkan untuk menjadi pengundi pada PRU-13. Opss! nanti dulu. 


Sebabnya, apabila habis pendaftaran dalam tiga bulan ini, nama mereka hanya boleh dipamerkan pada Mei dan pada hujung bulan itu sahaja, senarai nama berkenaan akan disahkan sebagai pemilih berdaftar. Itupun kalau bernasib baik jika nama tidak ada dalam proses bantahan. Dalam erti kata lain, mereka yang baru mendaftar dalam bulan ini (Januari), memerlukan sekurang-kurangnya lima bulan setengah, yakni pada Jun nanti untuk disahkan sebagai pengundi. Jadi, janganlah kata tidak ada makluman mengenai perkara ini atau sememangnya sengaja tidak mahu cari maklumat. Kalau tiba-tiba Parlimen dibubarkan, jangan nak membising pula. 

Penulis sengaja membawa isu ini kerana sayang sekali kalau kita tidak menyertai PRU-13 itu nanti. Ini memandangkan beberapa pembaharuan dijangka dimasukkan dalam proses pengundian kali ini. Antara yang mencatat sejarah ialah penggunaan dakwat untuk dicalit pada jari pengundi. Pada waktu ini, topik dakwat belum ada dalam laporan mutakhir SPR untuk media. Lagi pun dakwat hanya boleh bertahan selama tiga bulan sahaja. Maknanya, kalau SPR import dakwat berkenaan sekarang, tetapi Parlimen tiba-tiba hanya dibubarkan pada hujung tahun ini atau awal 2013, alamatnya kena 'berjuta-juta ringgit' lagil kos pembazirannya. 

Dalam erti kata sebenar, SPR kena mendapat petunjuk dahulu sebelum boleh membeli dakwat untuk dicalitkan pada jari pengundi nanti. Penulis difahamkan, SPR ketika ini dalam proses untuk memantapkan tatacara penggunaan dakwat. Memang tatacara itu sudah ada apabila penggunaan dakwat hampir-hampir sahaja mahu digunakan pada PRU-12 (pada 2008). 

Tetapi apabila dakwat tidak jadi digunakan, maka tatacara untuk penggunaannya terbiar begitu sahaja. Kini, ada tambahan dua atau tiga dalam tatacara sedia ada. Antaranya, kerani mana yang akan dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan urusan mencalit dakwat kepada pengundi nanti. Adakah kerani yang memeriksa kad pengenalan pengundi atau kerani kedua yang menyerahkan kertas undi. Apa pelan jangka pendek dan panjang jika semasa pengundian itu dalam situasi waktu puncak. 

Dalam memperkatakan isu dakwat ini, SPR juga sebelum ini dalam langkah berjaga-jaga seandainya lima wakil rakyat Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang dipecat dari parti baru-baru ini tiba-tiba diarahkan mengosongkan kerusinya untuk memberi laluan kepada pilihan raya kecil (PRK). Jika ini terjadi, kemungkinan calitan dakwat ke atas jari pengundi boleh digunakan sebagai ujian atau perintis dalam lima PRK berkenaan. Setakat 200,000 pengundi di lima kerusi itu tidak menjadi masalah untuk SPR mencalit, sebelum ke cabaran sebenar mengendalikan 12.4 juta pemilih pada PRU-13.

Dan kalau SPR dibenarkan membawa pembaharuan ini kelima-lima PRK berkenaan, maka bolehlah SPR mengemukakan perolehan. Tetapi mujurlah lima wakil rakyat berkenaan pada Ahad lalu (22 Januari 2012) mengesahkan mereka masih lagi wakil rakyat BN. Lima wakil rakyat yang dimaksudkan ialah ADUN Tasik Biru, Datuk Peter Nansian Ngusie yang juga bekas Naib Presiden Kanan SPDP, Ahli Parlimen Mas Gading, Datuk Dr. Tiki Lafe, ADUN Marudi, Datuk Sylvester Entri, ADUN Bekenu, Rosey Yunus dan ADUN Bukit Danau, Paulus Palu Ngumbang. 

Selain isu dakwat, realitinya juga masih ramai yang tidak faham tentang prosedur pengundian awal. Ada pihak menjangkakan semua warganegara Malaysia yang berada di luar negara layak menjadi pengundi pos (pengundi awal). Untuk melayakkan diri menjadi pengundi awal, sejumlah pemilih tersebut mestilah boleh dikumpulkan dalam jumlah yang besar pada satu-satu masa. Antaranya anggota polis dan tentera. Golongan wartawan pun masih belum boleh dikumpulkan sedemikian rupa, andai semasa pengundian sibuk pula di lapangan. Apatah lagi dengan warganegara Malaysia yang bertaburan di seluruh dunia. 

Mereka ini perlu dikesan berada di wilayah mana dalam negara berkenaan semasa PRU-13 berlangsung, kertas mengundi bagaimana mahu dikirimkan dan kemungkinan berlaku penyelewengan menanda kertas undi oleh pihak ketiga. Semua itu perlu difikirkan SPR. Sebab itu, hanya pelajar Malaysia dan pegawai kedutaan serta anggota keluarga mereka di luar negara berada dalam kelompok pengundi awal atau pos ini. 

Mereka mudah diuruskan dan dikenal pasti lokasinya. Ketika ini, tidak ada satu kenyataan pun oleh pengerusi penganjur perhimpunan haram Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga dalam mana-mana blog mahu menemui SPR untuk membincangkan pasal pilihan raya. Kata Ambiga, hanya kalau SPR tidak melaksanakan tujuh perkara yang dituntutnya untuk 'pilihan raya yang bersih', dia akan kembali ke jalanan. 

Namun, pembaharuan atau apa sahaja yang menjadi kemahuan rakyat untuk melihat perjalanan pilihan raya yang lancar dan adil merupakan proses yang berterusan. Mana-mana pemilih yang meninggal dunia setiap hari ketika ini semuanya direkodkan oleh SPR melalui maklumat Jabatan Pendaftaran Negara. Kita masih menunggu tujuh perkara yang sedang dikaji oleh Jawatankuasa Terpilih Parlimen untuk penambahbaikan proses pilihan raya. Dijangkakan hujung Mac ini baru selesai. Tetapi pada masa ini yang memerlukan perhatian ialah daftarkan diri anda sebagai pemilih PRU13 - yang juga ibu segala pilihan raya.-27/1/2012 -Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...