Sabtu, 28 Januari 2012

'Tandas Perempuan' Jadi Pintu Laluan Judi Haram


Taktik pengusaha sebuah pusat hiburan di sini yang meletakkan label 'tandas perempuan' pada sebuah pintu di dalam premis bagi melindungi aktiviti perjudian haram, terbongkar dalam serbuan polis terhadap pusat hiburan itu semalam. 

Serbuan oleh Unit Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang diketuai ASP Emmi Shah Fadhil mendapati pintu berkenaan sebenarnya ialah laluan untuk pelanggan bermain mesin judi haram. 


Emmi Shah berkata taktik itu dipercayai digunakan oleh pengusaha pusat hiburan itu untuk mengelak daripada kegiatan haram itu dihidu pihak berkuasa. Beliau berkata, ruangan judi berkenaan turut dibahagikan kepada dua bahagian iaitu untuk bidaan kecil dan bidaan VVIP yang dijalankan di dalam sebuah bilik khas yang lebih besar serta ditutup dengan cermin hitam. 

"Ketika serbuan, terdapat 10 pelanggan berusia antara 20 dan 55 tahun sedang leka bermain mesin slot dan komputer judi. Kita turut merampas 12 mesin judi slot dan 22 buah komputer yang diubah suai untuk dijadikan mesin judi dalam talian," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Emmi Shah berkata kesemua pelanggan, termasuk seorang warganegara Myanmar dan seorang warga emas berusia 60-an serta empat pekerja, ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan. Beliau berkata, premis dua tingkat itu beroperasi sejak tiga tahun lepas dan berdasarkan rekod, ia pernah diserbu beberapa kali oleh pihak berkuasa. 

Emmi Shah berkata, sebelum ditahan, warga emas terbabit bertindak menyembunyikan wang tunai bernilai RM750 di dalam seluar dalamnya untuk mengelak daripada ditahan polis. Namun, helahnya gagal apabila wang tersebut ditemui setelah pemeriksaan dijalankan terhadapnya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...