Jumaat, 22 April 2016

20 Kementerian Berjaya Mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera Kementerian @NajibRazak @DrAliHamsa



21 APRIL 2016 Pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera Kementerian 

1. Pada tahun lalu, saya telah mengumumkan sebanyak 98 KPI Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB) bagi 25 Kementerian termasuk Jabatan Perdana Menteri (JPM). Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang bermesyuarat pada hari ini mengambil maklum bahawa kesemua 25 kementerian telah mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus KPI yang telah ditetapkan. Daripada jumlah keseluruhan, 20 kementerian telah berjaya mencapai sasaran 100 peratus yang telah ditetapkan. Ini merupakan satu pencapaian yang amat memberangsangkan. 

2. Penetapan KPI ini adalah penting dalam memastikan Agenda PEB sebagai agenda nasional yang dilaksanakan secara sistematik dan berkesan. Pelaksanaannya yang merentasi kementerian juga adalah selari dengan usaha Kerajaan dalam membangunkan negara secara inklusif. Antara pencapaian utama pelaksanaannya bagi tahun 2015 adalah:
 
  • Bilangan syarikat vendor dan “anchor” dalam Program Pembangunan Vendor ditingkatkan daripada 68 syarikat pada 2014 kepada 90 syarikat pada tahun 2015; 
  • Pemilikan hartanah komersil di kawasan strategik oleh usahawan Bumiputera dan peningkatan nilai aset menerusi Skim Penyewaan dan Pemilikan Hartanah (SPPH) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mencatatkan pencapaian sebanyak 98.3 peratus; 
  • Nilai kontrak sebanyak RM 4.1 bilion (kumulatif) diberikan kepada kontraktor Bumiputera bagi menjayakan projek High Speed Broadband; dan 
  • Pemindahan teknologi kepada Bumiputera dengan nilai kontrak sekurang-kurangnya RM 120.8 juta dan penjenamaan nilai pasaran sebanyak RM 2.3 bilion. 


3. Susulan itu, bagi tahun 2016, selari dengan strategi dan sasaran outcome yang digariskan di bawah Teras 1: Memperkukuh Inklusiviti ke Arah Masyarakat yang Saksama, Rancangan Malaysia Ke-sebelas yang memfokus kepada pengukuhan peluang komuniti ekonomi Bumiputera bagi meningkatkan pemilikan kekayaan. Dalam hal ini, sebanyak 93 KPI bagi 25 kementerian termasuk JPM telah diperakukan oleh MEB. Ke arah itu, penetapan KPI pada tahun ini dilihat mempunyai impak yang tinggi, lebih bersifat outcome-based dengan sasaran yang lebih tinggi berbanding tahun 2015.


4. Justeru, dalam memastikan pelaksanaan KPI PEB kementerian selari dengan strategi Rancangan Malaysia Kesebelas, antara KPI yang telah ditetapkan bagi tahun 2016 adalah:
 
  • Mencapai 50.6 peratus nilai kontrak Bumiputera (2017) berbanding keseluruhan kos projek dalam projek MRT 1 dan mencapai 25 peratus nilai kontrak Bumiputera berbanding keseluruhan kos projek Merdeka PNB 118 Tower (Warisan Merdeka); 
  • 30 peratus agihan kepada kontraktor Bumiputera dalam projek pembinaan lebuhraya- lebuhraya utama (seperti WCE, DUKE2, EKVE & SUKE); dan 
  • Satu penghasilan kajian pembangunan kerangka operasi dan pelan perniagaan Perbadanan Wakaf Nasional Berhad. 


5. Impak pelaksanaan bagi kesemua KPI PEB ini dapat melonjakkan ekonomi masyarakat Bumiputera dan seterusnya membantu merealisasikan hasrat Kerajaan dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. 

6. Sukacita saya juga berkongsi di sini perkembangan dan laporan prestasi pencapaian pelajar tajaan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera bagi pengajian pensijilan perakaunan profesional seperti CAT, CBA, CFAB, ACCA, CIMA, CPA Australia, ICAEW dan MICPA-CAANZ telah menunjukkan purata peratusan yang memberangsangkan, di mana kelulusan pelajar tajaan Yayasan Peneraju bagi kesemua pensijilan tersebut adalah sebanyak 75.3% berbanding kadar purata kelulusan global sebanyak 67.6%. Sebentar lagi, kita akan menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Kolaborasi Strategik di antara Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera dengan pihak Yayasan Pahang menerusi program Peneraju Profesional Akauntan Muda di bawah Skim Yayasan Pahang dengan kos lebih kurang RM1.2 juta. 

7. Selain itu, Kerajaan terus komited dalam memastikan pembinaan kapasiti berterusan di kalangan usahawan dan pengeluar Bumiputera agar mereka dapat bersaing di luar negara. SME Corporation Malaysia (SME Corp) akan bekerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi melaksanakan Program Galakan Eksport Bumiputera. Sejumlah 400 syarikat SME Bumiputera disasar untuk ditingkatkan keupayaan eksport mereka menjelang tahun 2020. Satu pakej bantuan bersepadu meliputi kemudahan pembiayaan kewangan dengan komponen seperti pembungkusan, pensijilan dan pengurusan sistem kualiti serta pembangunan dan inovasi produk akan disediakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...