Khamis, 2 Jun 2016

Terima Kasih DS Wahid 3 Tahun Khidmat Dalam Kerajaan @DrAliHamsa @NajibRazak

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar mengemaskan semua dokumennya sebelum menamatkan perkhidmatannya selaku Menteri itu pada 4 Jun ini

PUTRAJAYA, 2 Jun (Bernama) -- Berada dalam barisan Kabinet untuk tempoh tiga tahun merupakan keistimewaan yang jarang diperoleh semua orang, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wahid Omar yang bakal menamatkan perkhidmatannya dalam kerajaan. 

Beliau berkata ia merupakan satu penghormatan baginya apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjemput beliau menyertai Kabinet. "Ia peluang yang jarang diperoleh orang lain tanpa bertanding dalam pilihan raya," katanya pada sidang media di sini hari ini, sebelum menamatkan perkhidmatannya dalam kerajaan pada 4 Jun. 

Abdul Wahid berkata sepanjang berkhidmat dalam kerajaan, beliau terlibat dalam pelbagai perancangan pembangunan ekonomi negara untuk tempoh sederhana dan jangka panjang termasuk penyediaan Rancangan Malaysia ke-11 yang bermula pada tahun ini. "Melalui mandat yang diberikan juga, saya berpeluang memberikan perspektif swasta dalam kerajaan dan memberikan keberaniaan kepada kerajaan untuk menjalankan langkah-langkah yang benar," katanya. 

Abdul Wahid mengakui menghadapi tekanan yang berbeza ketika berada dalam kerajaan berbanding tekanan ketika berkhidmat hampir 25 tahun dalam sektor korporat. "Ini termasuk apabila sesuatu isu dipolitikkan, ia memberikan cabaran kepada saya tetapi kalau kita fokus kepada isu dan fakta, Insya-Allah kita dapat menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya," katanya. 

Perdana menteri baru-baru ini mengumumkan perkhidmatan Abdul Wahid sebagai anggota Dewan Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan berakhir pada 4 Jun selaras dengan permintaan beliau ketika menerima pelantikan itu pada 2013 iaitu hanya berkhidmat bagi satu penggal. 

Berhasrat untuk kembali semula berkhidmat dalam sektor korporat, Abdul Wahid bagaimanapun merancang untuk berehat panjang ketika bulan Ramadan ini sebelum meneruskan kerjaya beliau meskipun tidak menghuraikan sektor yang bakal disertai. Ditanya adakah beliau berminat untuk menyertai politik dan bertanding pada pilihan raya umum akan datang, Abdul Wahid menjawab : "Tentunya tidak...saya lebih kepada orang korporat, tidak biasa dengan mana-mana situasi politik...sebab itu saya mahu kembali ke sektor korporat". 

Mengenai pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan, beliau berkata umum mengetahui dunia kini mengalami keadaan ekonomi yang tidak menentu termasuk pertumbuhan ekonomi China yang sederhana dan harga komoditi yang rendah yang memberi cabaran kepada negara. "Namun, kerajaan telah menyediakan strategi kepelbagaian bukan sahaja dari segi struktur sumbangan ekonomi kita termasuk bagaimana kita telah kurangkan kebergantungan kita kepada sektor komoditi dan kini ekonomi kita dipacu oleh sektor pembuatan dan pengeluaran. "Ini juga dapat kita lihat apabila kerajaan menambah pelbagai sumber pendapatan negara dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak dan gas serta kepelbagaian negara pasaran untuk tidak terlalu bergantung kepada satu-satu negara sahaja," katanya. 

Katanya walaupun China adalah rakan dagangan terbesar Malaysia, namun eksport ke negara tersebut adalah kurang 14 peratus menjadikan negara tidak terlalu bergantung dengannya. Oleh itu, katanya, strategi kepelbagaian tersebut membolehkan negara membangun secara mapan walaupun berdepan dengan tempoh yang mencabar.

Sumber

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...