Sabtu, 16 April 2016

EPU Memperkenalkan SL1M Bagi Meningkatkan Kemahiran Rakyat @NajibRazak @DrAliHamsa




LABUAN, 16 April (Bernama) -- Unit Perancang Ekonomi (EPU) memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi negara jangka panjang dalam usaha untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar. Beliau berkata pewujudan pekerjaan dan perniagaan diberi keutamaan dalam Rancangan Malaysia ke-11, memandangkan ia dapat membantu meningkatkan pendapatan isi rumah. "Dari segi pewujudan pekerjaan, kita akan memastikan pelaburan terus mengalirkan bukan sahaja di Lembah Klang tetapi juga kawasan-kawasan lain termasuk di Labuan. "Kerajaan telah mengadakan pakej insentif khusus untuk syarikat-syarikat. "Kerajaan sentiasa menggalakkan syarikat menempatkan perniagaan mereka di luar Lembah Klang seperti di Sabah atau Labuan supaya pembangunan lebih seimbang," katanya pada sidang media selepas merasmikan Temuduga Terbuka Siri Kedua Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) peringkat Labuan di sini, Sabtu. 

Abdul Wahid berkata persekitaran global yang mencabar telah menyebabkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada dua hari lepas, menyemak turun unjuran pertumbuhan dunia daripada 3.4 peratus kepada 3.1 peratus tahun ini. "Bagi menghadapi persekitaran ekonomi semasa, kita telah mempelbagaikan struktur ekonomi dengan mengurangkan pergantungan kepada sektor komoditi termasuk sektor minyak dan gas. "Apa yang perlu kita lakukan dalam keadaan ekonomi semasa ialah untuk memastikan pertumbuhan ekonomi lebih meluas ke seluruh rantau ini. "Dari segi sentimen pengguna, kita berharap dapat mewujudkan lebih banyak aktiviti perniagaan dan meningkatkan permintaan pekerjaan (bagi memastikan) ekonomi kita kembali di landasan yang betul," katanya dan menambah yang ekonomi Malaysia dijangka berkembang empat hingga 4.5 peratus tahun ini. 



Sementara itu, beliau berkata kerajaan juga telah memperkenalkan pelbagai program peningkatan kemahiran untuk rakyat, khususnya bagi mereka yang menganggur disebabkan oleh persekitaran ekonomi semasa. Beliau berkata kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan rakyat mempunyai akses kepada pendidikan dan latihan serta mengubah minda untuk menjadi usahawan termasuk mengambil kesempatan terhadap kursus-kursus yang disediakan oleh agensi seperti Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (LabuanFSA). Susulan terdapat banyak majikan yang mengadu tentang kurangnya kualiti dalam kalangan graduan terutamanya bidang keusahawanan, Abdul Whaid berharap program SL1M, dengan kerjasama peserta korporat, dapat melengkapkan graduan dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan. 

Mengenai ekonomi Labuan, beliau berkata dengan kelembapan aktiviti huluan minyak dan gas, ekonomi Labuan terjejas memandangkan kebergantungannya terhadap sektor itu. "Kita melihat banyak syarikat minyak dan gas huluan mengecilkan operasi dan ini telah menyebabkan perniagaan berkurangan di hotel dan restoran. "Kita juga menyaksikan jumlah penerbangan ke Labuan semakin berkurangan dengan ketara sebanyak 13.4 peratus dalam ketibaan penumpang ke pulau itu pada tahun lepas dan terdapat juga hotel telah mengalami penurunan 15 peratus dalam kadar penghunian. "Oleh itu, kita merasakan bahawa kita perlu membawa lebih banyak peluang pekerjaan ke Labuan bukan sahaja untuk orang Labuan tetapi juga orang-orang di sekitarnya," katanya dan menambah terdapat keperluan untuk mencergaskan semula ekonomi Labuan. Pelancongan telah dikenal pasti sebagai antara bidang yang boleh meningkatkan ekonomi Labuan dan angota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli telah mengemukakan cadangan pembangunan berkenaan, kata Abdul Wahid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...