Selasa, 26 Ogos 2014

@Ismail_Sabri60 Akan Memberi NAFAS Baru Bagi Memerangi JMOT Bersama @Moa_Gov @NajibRazak #DSIS







Dalam satu perjanjian pertubuhan Peladang Kebangsaan Malaysia (NAFAS) dan Agrobank hari ini menandatangani perjanjian untuk membiayai sebahagian pembelian sebuah bangunan baharu di Kota Damansara sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangan dan pembangunan untuk persatuan tersebut. Dan dengan ini juga pihak (NAFAS) akan memberi jaminan bahawa (JMOT) iaitu "Jihad Memerangi Orang Tengah" akan terus dihapuskan dari masa ke semasa.

Dengan adanya perjanjian ini, NAFAS akan menerima jumlah pembiayaan sebanyak RM58 juta daripada Agrobank untuk membeli sebuah bangunan 3 tingkat di Kota Damansara, dengan keluasan binaan 204,000 kaki persegi dan keluasan tanah 146,000 kaki persegi. Bangunan ini akan dibangunkan sebagai Pusat Pengumpulan dan Pengedaran (CCDC) dan pasar agro yang ditempatkan di tingkat bawah. 

Bangunan ini juga akan menempatkan sebuah akademi latihan dan ibu pejabat baharu bagi NAFAS dan kesemua anak-anak syarikatnya. Perjanjian ini telah ditandatangani oleh YB Dato' Seri Haji Saipolbahari bin Haji Suib, Pengerusi NAFAS bagi pihak NAFAS dan YB Dato' Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank. Majlis tersebut disaksikan oleh YB Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA). 

Dalam ucapannya, Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob menekankan bahawa inisiatif "Jihad Memerangi Orang Tengah" (JMOT) bertujuan untuk menjamin hak-hak petani, penternak dan nelayan tanpa dimanipulasi dan dikawal oleh orang tengah. "Dalam usaha untuk memastikan kejayaan JMOT, MOA telah mengambil inisiatif untuk memperkasa Pertubuhan Peladang dengan menyusun semula fungsi dan peranan masing-masing untuk mengambil alih peranan orang tengah. Saya berbangga kerana NAFAS telah menyahut seruan kerajaan untuk mengambil inisiatif untuk membangunkan CCDC dan agromarket di bangunan baharu ini. 

Ini adalah satu langkah penting yang betul dalam mengambil alih peranan seperti mana yang digariskan dalam Akta dan menggunakan rangkaian Pertubuhan Peladang yang kukuh di peringkat wilayah dan negeri dengan jumlah ahlinya seramai 850,000 orang", kata Ismail Sabri lagi. Beliau juga turut memuji kerjasama antara NAFAS dan Agrobank dan berharap kerjasama tersebut akan diteruskan di peringkat negeri dan wilayah. 

Di majlis tersebut, NAFAS dan Agrobank juga mengumumkan kerjasama di masa hadapan dalam membiayai perladangan kontrak, kilang makanan, ladang kelapa sawit, kewangan perdagangan dan juga ejen perbankan Agrobank. 

Lebih dari 500 tetamu yang hadir dalam majlis itu termasuklah Dato' Mohd Arif bin Ab Rahman, Ketua Setiausaha MOA, Dato' Ab Rahman bin Ismail, Pengutus Besar NAFAS, ahli-ahli lembaga pengarah Agrobank dan NAFAS.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...