Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau memerlukan mandat daripada rakyat untuk terus membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju.
Menurutnya, mandat itu penting kerana beliau akan meneruskan usaha dengan sedaya upayanya untuk membawa Malaysia menjadi sebuah negara yang terbilang.
"Sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) saya telah pun menerima mandat dan sebagai Presiden UMNO, saya juga telah menerima mandat daripada parti dan kali ini saya perlukan mandat daripada rakyat,'' katanya dalam ucaptama pada Persidangan Cina Malaysia di Persimpangan Politik yang turut dihadiri Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek di sini hari ini.
Persidangan dan debat tersebut dianjurkan oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) bersama-sama agensi pemikir MCA, Institut Analisis Strategik Dan Penyelidikan Dasar (Insap).
Perdana Menteri turut menegaskan, Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-3) yang dijangka diadakan tidak lama lagi bukan untuk dirinya tetapi adalah untuk masa depan Malaysia.
"Saya sendiri tidak tahu bila pilihan raya itu akan diadakan, namun saya ingin tegaskan ia bukan soal diri saya tetapi masa depan rakyat. Justeru saya harap rakyat dapat membuat pilihan yang betul,'' katanya.
Tegas beliau, Malaysia akan menjadi lebih kuat di bawah kepimpinan BN.
"Kalau anda berada di persimpangan jalan, ambillah arah yang betul. Kalau anda ambil arah yang betul, saya yakin kita akan dapat melakukan transformasi terhadap Malaysia.
"Kita akan berada di barisan hadapan negara, kita akan berjaya menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi, yang boleh kita banggakan,'' ujarnya.
Beliau juga berharap, persidangan tersebut akan dapat memberi isyarat yang betul untuk BN dan terus mendapat sokongan daripada rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan