Ahad, 19 Februari 2012

200 Orang Bantah Kehadiran Anwar Di Endau Mersing


Kira-kira 200 orang yang mewakili pelbagai parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan bantahan secara aman terhadap kehadiran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Endau di sini untuk berceramah Ahad ini. 

Kumpulan tersebut yang terdiri daripada wakil Pergerakan Pemuda UMNO, MCA, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Mersing serta Persatuan Belia Endau mendakwa kehadiran Ketua Umum PKR itu hanya akan memecah-belahkan perpaduan penduduk di kawasan tersebut. 

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Mersing, Youzaimi Yusuf berkata, penduduk di daerah ini menolak kehadiran Anwar kerana kehadirannya akan menimbulkan rasa kurang tenteram, selain ceramah beliau hanya akan menghasut rakyat untuk membenci kerajaan. 


"Masyarakat di sini membantah kehadiran Anwar dan kita tidak sekali-kali akan terpedaya dengan janji manis yang ditaburkan kepada penduduk Mersing kerana kami sentiasa menyokong dan berdiri teguh bersama kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. 

"Kami tidak mahu Anwar yang menyokong negara Israel hadir ke tempat tinggal kami kerana ia akan mengubah suasana harmoni dan keselesaan penduduk yang telah sekian lama terjalin baik antara pelbagai kaum," ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan bersama Setiausaha MCA Bahagian Mersing, Tan Ah Fatt di Balai Polis Endau di sini semalam. Sementara itu, Pengerusi Persatuan Belia Endau, Musranizam Musa berharap golongan belia tidak terpedaya dengan agenda peribadi Anwar kerana ia hanya akan merosakkan keharmonian penduduk di kawasan itu. "Kami mahu keamanan sedia ada di sini dikekalkan dan kehadiran Anwar pasti memecah-belahkan penduduk," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...