Isnin, 23 Januari 2012

Gerakan Akan letak Calon Melayu dalam PRU-13 Nanti


Gerakan membidas DAP kerana ‘cakap besar’ mengenai keupayaannya untuk mengekalkan pemerintahan di Pulau Pinang dengan mencari kelemahan parti lain. Presidennya, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, DAP tidak boleh menabik dada memberitahu masyarakat Cina yang mereka adalah parti yang kuat kerana ia diputuskan oleh pengundi bukan diri sendiri. 


“Memang pemimpin DAP macam itu, suka kata partinya sahaja kuat. Sebenarnya kekuatan diukur oleh sokongan rakyat dan pengundi dalam pilihan raya akan datang, bukan dengan cakap besar,” katanya pada sidang media Gerakan selepas mengadakan rumah terbuka di Bangunan PGRM, semalam. 

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Untuk memastikan kemenangan milik Gerakan dengan merampas semula kerusi yang dimenangi pembangkang pada pilihan raya lalu, Tsu Koon berkata, partinya akan meletak calon yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Menurutnya, tindakan itu bertujuan untuk menarik sokongan pelbagai kaum kepada parti berkenaan, namun calon bukan Cina akan diletak bergantung pada lokasi tertentu. 

“Kalau majoritinya di kawasan Melayu, Gerakan mungkin meletak calon Melayu dan begitulah sebaliknya, tetapi perkara ini belum diputuskan lagi. Kami masih berbincang dan terlalu awal untuk memberitahu kepada umum,” katanya. Mengulas mengenai kesediaan Gerakan melepas jawatan Ketua Menteri kepada parti komponen BN lain, termasuklah Umno, katanya, semua itu bergantung kepada keputusan yang dibuat Pengerusi BN, Najib. 

“Kita ikut apa kata putus Najib. Gerakan ikut sahaja prosedur ini. Keputusan mengenai parti mana menerajui Pulau Pinang akan diperjelaskan dalam masa terdekat dan lihat keputusan beliau sama ada mahu Gerakan menerajui atau dilepaskan kepada parti komponen lain. “Itu semua tidak penting kerana kita berjuang dalam semangat 1Malaysia, satu tenaga dan satu hati. 

Dengan perpaduan ini, saya percaya segala cabaran mendatang akan diatasi dengan jayanya,” katanya. Beliau berkata, Gerakan telah bekerja keras untuk menarik sokongan orang Cina kepada parti itu dan tidak percaya pada janji-janji pembangkang yang mahu memberi keadilan kepada satu-satu bangsa. 

Kata Tsu Koon, orang Cina mengundi pembangkang pada pilihan raya lalu kerana mereka berjanji mahu memberi keistimewaan diberikan kepada orang Cina sahaja sedangkan setiap warganegara berhak mendapat hak sedemikian, tidak kepada sesuatu bangsa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...