Isnin, 23 Januari 2012

Najib Gembira Rakyat Dapat Kekalkan Tradisi Sempena Tahun Baru Cina



Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa gembira kerana sambutan Tahun Baru Cina kali ini terus dikekalkan dengan tradisi rumah terbuka yang disertai oleh pelbagai kaum daripada semua lapisan masyarakat negara ini, termasuk para pemimpin. 

Perdana Menteri berkata keadaan harmoni itu adalah sesuatu yang sungguh besar nilainya, yang tidak boleh dipandang ringan dan perlu diperkukuhkan sebagai satu tradisi serta pegangan oleh semua rakyat Malaysia. Beliau seterusnya mengucapkan selamat Tahun Baru Cina kepada semua rakyat Malaysia berketurunan Cina dan berharap tahun ini akan dapat mengukuhkan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat. 


"Mengikut kepercayaan kaum Cina, tahun ini Tahun Naga Air di mana tahun ini dikira baik untuk perniagaan. "Mudah-mudahan tahun ini melihat kepada pengukuhan ekonomi negara kita dan kesejahteraan rakyat," katanya dalam lintas langsung bersama RTM selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA di Wisma MCA di sini hari ini. 

Sementara itu, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut mengucapkan selamat Tahun Baru Cina kepada semua rakyat Malaysia berketurunan Cina terutama kepada kanak-kanak Permata Negara dan kaum wanita. "Saya harap mereka semua dapat menziarah atau melawat rakyat berbangsa Cina...pergi ke rumah mereka untuk mengikatkan silaturahim antara kita semua rakyat Malaysia," katanya.

Ketibaan Najib pada pukul 9.50 pagi di Wisma MCA disambut oleh pemimpin MCA yang diketuai Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, serta paluan gendang, tarian naga dan singa. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman, serta kedua-dua bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. 

Menteri-menteri kabinet serta pemimpin BN yang lain, termasuk Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Presiden MIC Datuk G. Palanivel dan Presiden PPP Datuk Seri M. Kayveas turut hadir pada majlis tersebut. Mereka kemudian bersama-sama menggaul Yee Sang, salad ikan dan sayur mentah yang bermakna "prosperity toss" yang diadakan sempena sambutan Tahun Baru Cina di negara ini. 

Sementara itu di rumah terbuka parti Gerakan di Menara PGRM di sini, Najib berkata BN akan terus berusaha membela nasib rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana rendah, dan terus mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap BN. " Kita berharap atas segala usaha yang dilakukan (kerajaan BN), rakyat boleh melihat kejayaan kita (membela rakyat)," katanya semasa diwawancara secara lintas langsung oleh TV3. 

Menyentuh mengenai sokongan kaum Cina terhadap kepimpinannya yang kini dikenali sebagai "Ah Jib Gor" , yang bermaksud "Abang Najib" - nama yang digunakannya dalam laman sosial Facebook bahasa Cina yang dilancarkan baru-baru ini, Perdana Menteri berkata beliau perlu berusaha lebih gigih lagi. 

"Dalam sejarah (negara), masyarakat Cina telah memberi kepercayaan yang begitu tinggi kepada BN, hanya pada pilihan raya lepas merosot. Saya harap melalui usaha berterusan, dapat tambah sokongan kaum Cina kepada BN," katanya. Mengenai makanan istimewa sempena sambutan Tahun Baru Cina, Najib berkata Yee Sang, kerana ia makanan yang terkenal dan unik kepada Malaysia. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...