Akibat perang Facebook, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dibelasah, termasuk dipijak dan ditendang sekumpulan kira-kira 15 pelajar perempuan dari sekolah sama berhampiran sebuah sekolah menengah di sini, petang kelmarin.
Mangsa dipercayai diserang berikutan beberapa komennya di dalam laman sosial Facebook, baru-baru ini, yang dikatakan mengeluh kerana asyik dibuli sejak lebih sebulan berpindah ke sekolah itu, awal tahun ini.
Anak sulung daripada dua beradik itu cedera di tangan dan badan, selain lebam dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, berikutan muntah dan mengadu sakit dada.
Dalam kejadian itu, mangsa yang baru berpindah dari Sungai Petani, Kedah, dikatakan dikerumuni kira-kira 15 pelajar perempuan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebaik selesai menjalani latihan sukan di sekolah kira-kira jam 6.30 petang.
