Isnin, 19 Januari 2015

@TengkuAdnanReal Menyatakan Masih Terdapat Hutan Tropika Di Tengah Tengah Ibu Negara





HARI INI 19 JAN 2015 satu Majlis telah diadakan bagi menandakan bahawa berakhirnya secara rasmi kerja-kerja pembaikan cerun runtuh yang telah berlaku di Bukit Nanas pada 7 Mei 2013 yang lalu. Dalam ucapan YB Menteri Wilayah Datuk Seri Tengku Adnan Bin Tengku Mansor di jalan Bukit Nenas malam tadi. 

Tengku Adnan menyatakan ramai yang tertanya tanya Jalan Ampang dan Jalan Bukit Nanas telah lama kerja-kerja baik pulih cerun ini akan siap dilaksanakan. Setelah kerja-kerja kajian di kawasan runtuhan dan keseluruhan kawasan Bukit Nanas telah dilaksanakan oleh tetuan Kumpulan IKRAM Sdn Bhd dan hasil kajian telah dimaklumkan kepada pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, JKR, Jabatan Perhutanan dan DBKL akhirnya berjaya di selesaikan. Oleh kerana kejadian berlaku di dalam kawasan Kuala Lumpur, maka kerja-kerja baikpulih ini telah dipertanggungjawabkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk melaksana kerja-kerja tersebut. 

Hutan Simpan Bukit Nanas semakin terkenal di kalangan pelancong dalam dan luar negara dan telah menjadi salah satu ikon pelancongan di Ibu Negara kerana dunia luar amat mengagumi Negara ini kerana merupakan satu-satunya Negara di dunia yang masih mempunyai hutan hujan tropika asli tertua terletak di tengah-tengah ibu Negara. Sehubungan dengan itu, bagi memenuhi keperluan dan peranan yang semakin luas, pada 12 November 2009, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah melancarkan perasmian penjenamaan semula Hutan Simpan Bukit Nanas menjadi Taman Eko-Rimba Kuala Lumpur bersesuaian dengan lokasi yang strategik dan pemintaan yang meningkat oleh pelancong dalam dan luar Negara. 

Bukit Nanas mempunyai sejarah yang tersendiri dan dalam catatan Persatuan Sejarah Selangor, Bukit Nanas sebelum ini dikenali sebagai Bukit Gombak. Peristiwa Perang Klang yang berlaku kira-kira 147 tahun lalu antara Raja Mahadi dan Tengku Kudin telah mengubah nama Bukit Gombak kepada Bukit Nanas. Tengku Kudin adalah menantu kepada Baginda Sultan Abdul Samad, Sultan Selangor Ke-IV telah mendapat bantuan dari Wan Ahmad, Bendahara Pahang. Manakala Raja Mahadi yang tidak tunduk untuk membayar cukai bagi Pentadbiran Klang kepada Baginda Sultan Selangor telah mendapat bantuan dari Sutan Naposo yang kaya-raya dan masyarakat Mandailing diketuai Raja Asal yang mendiami Bukit Gombak ini. Para pemimpin dan pahlawan Mandailing yang berpihak kepada Raja Mahadi telah berkubu di Bukit Gombak ini. 

Sebagai benteng, ditanam pokok-pokok nanas dalam jumlah yang banyak di sekeliling bukit ini. Terdapat dua pendapat mengapa nanas menjadi pilihan. Pertamanya duri-duri pokok itu mampu menghalang kemaraan musuh yang berkaki ayam. Keduanya, duri pokok itu dipercayai dapat ‘menawarkan’ ilmu kebal dimiliki pahlawan Pahang. Begitu pun, Sutan Naposo dan Raja Asal akhirnya gagal bertahan lalu ditewaskan. Daripada jumlah pokok nanas yang banyak ditanam itulah timbulnya nama Bukit Nanas sehingga menenggelamkan nama asalnya, Bukit Gombak. Apa jua sekalipun, Hutan Simpan Bukit Nanas tetap berdiri teguh di Kotaraya Kosmopolitan Kuala Lumpur sekalipun berhadapan dengan pelbagai desakan pembangunan yang rancak berlaku di persekitarannya sejak dahulu sehinggalah pada hari ini. 

Peristiwa kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 7 Mei 2013 di Bukit Nanas melibatkan 4 lokasi utama iaitu 2 lokasi berada di Jalan Ampang dan 2 lokasi di Jalan Bukit Nanas. Tanah runtuh di Jalan Ampang telah melibatkan kawasan substation TNB, kawasan air terjun dan tempat letak kereta Metro; yang mana telah mengakibatkan 7 kereta tertimbus dan menutupi Jalan Ampang. Tanah runtuh di Jalan Bukit Nanas juga telah mengakibatkan kerosakan di bahagian jalan, saliran dan dinding penahan yang terletak di bahagian tengah cerun. 

Tengku Adnan juga mengucapkan berbanyak banyak terima kasih kepada Kumpulan IKRAM Sdn Bhd selaku konsultan dan kontraktor yang telah melaksanakan kerja-kerja baikpulih ini serta kepada semua pelajar dan guru serta ibu bapa sekolah yang terlibat iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan St. John, Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas, Sekolah Kebangsaan St. John 1 dan 2, Sekolah Kebangsaan Convent 1 dan 2 dan Sekolah Antarabangsa, pengguna-pengguna sekitar kawasan ini juga premis komersial, yang telah banyak bersabar sepanjang kerja baikpulih cerun Bukit Nanas dijalankan. 

Keseluruhan kos kerja baikpulih ini adalah sebanyak RM 18 juta bagi pembaikan cerun di Jalan Ampang dan Jalan Bukit Nanas melibatkan kerja-kerja soil nailing, pemasangan slope protection, micropile dan dinding penahan RC serta menaiktaraf sistem saliran di kawasan Bukit Nanas. Selain daripada itu, kerja-kerja membaikpulih air terjun buatan telah dijalankan serentak dengan kerja-kerja membaiki cerun. Dan sepatutnya kerja-kerja pembaikan ini sepatutnya mengambil masa selama 52 minggu, bersamaan satu tahun bermula 27 Februari 2014 sehingga 26 Februari 2015 mengikut kontrak. Walau bagaimanapun, kerja-kerja pembaikan ini telah disiapkan lebih awal iaitu pada 7 Januari 2015. 

Semasa peringkat pembinaan dijalankan, pihak DBKL dan kontraktor telah menemui kesan tinggalan terowong yang dipercayai wujud semasa peperangan antara Raja Mahadi dan Tengku Kudin dan telah dikaji oleh Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor dan Kuala Lumpur. Pihak DBKL dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia telah bersetuju untuk memelihara terowong ini sebagai salah satu tapak melawat untuk pelancong yang datang ke Bukit Nanas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...