Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda menyarankan agar kerajaan melaksanakan gaji minimum RM1,200 bagi membolehkan penjawat awam di peringkat rendah menikmati kehidupan yang lebih baik
Persatuan Pekerja Pekerja Dalam Agensi Agensi Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mohon supaya kerajaan bertindak pantas dan mempercepatkan penambahbaikan kesemua 252 skim perkhidmatan untuk kakitangan awam dipercepatkan bagi membantu penjawat awam menangani kos sara hidup pada masa kini yang semakin meningkat.
Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata kerajaan perlu menitik beratkan pendapat penjawat awam supaya kerajaan mencapai hasrat negara maju menjelang 2020,namun kini terutama bagi Kumpulan Pelaksana I dan II serta kumpulan menengah masih lagi rendah. "Gaji penjawat awam Kumpulan Pelaksana I dan II ini masing-masing RM805 dan RM820 iaitu di bawah paras kemiskinan nasional yang ditetapkan pada RM880.
"Jadi penjawat awam merasa bimbang menjelang lima tahun akan datang ini, apakah pendapatan pergajian penjawat awam ini boleh melayani kehidupan kita dalam tempoh lima tahun lagi," katanya selepas menghadiri mesyuarat kongres berkenaan di sini, hari ini. Azih berkata, sehingga kini kesatuan itu belum mendapat gambaran tarikh kuat kuasa pelaksanaan skim baharu berkenaan yang sepatutnya telahpun disiapkan pada awal tahun ini.
"Kalau ikut perundingan awal kita dengan kerajaan, skim ini sepatutnya bermula pada 2014, tapi 2015 sudah tinggal tidak beberapa hari lagi daripada sekarang. "Hari ini bukan persoalan hendak memiliki rumah, persoalan sekarang bagaimana hendak menggunakan duit gaji untuk sara keluarga, makan minum dan pendidikan anak-anak," katanya.
Beliau turut menyarankan agar kerajaan melaksanakan gaji minimum RM1,200 bagi membolehkan penjawat awam di peringkat rendah menikmati kehidupan yang lebih baik. Dalam pada itu, Azih sekali lagi memohon agar kerajaan mempercepat pembayaran bonus sekurang-kurangnya pada minggu pertama Januari tahun hadapan bagi meringankan beban penjawat awam menjelang sesi persekolahan pada 2015.
"Harapan Cuepacs supaya walaupun kerajaan bercadang bayar pada Januari, minta bonus dibayar pada minggu pertama dan tidak dibayar bersama gaji, tapi dibayar lebih awal untuk membolehkan persediaan dibuat oleh ibu bapa untuk persekolahan anak-anak mereka," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan