Rabu, 3 September 2014

Penganalisis Awal Bagi PRK Pengkalan Kubor Memberi Saingan Sengit Buat BN @NajibRazak

               

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan tarikh Pilihanraya DUN Pengkalan Kubur iaitu pada 25 September. Melihat kepada majoriti yang ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Noor Zahidi Bin Omar dalam PRU13 yang lalu iaitu sebanyak 1736 undi bagaikan sukar dikejar oleh PKR. Mengikut trend semasa kawasan pengundi Melayu, majoriti mendekati 2000 undi adalah sukar di kejar kerana amat jarang pengundi Melayu tradisional mengubah pegangannya. Bagi undi biasa, terdapat 12 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Dun Pengkalan Kubor. BN menguasai 7 PDM manakala PKR hanya menguasai 5 PDM. BN menguasai PDM Pengkalan Kubor, Simpangan, Tujoh, Bunohan, Jubakar Darat, Kampung Bendang Pak Yong dan Kampung Telok Jering. Manakala PKR pula menguasai PDM Pengkalan Kubor, Kampung Tebing, Kampung Geting, Telaga Bata dan Kedai Geting. Dari segi penguasaan saluran pengundi pula, 

BN menguasai 21 saluran undi biasa dan PKR juga menguasai 21 saluran pengundi dan menariknya BN dan PKR seri dengan memperolehi jumlah undi yang sama di saluran 4 bagi PDM Tujoh. Secara tradisinya BN menang besar bagi undi pos dengan majoriti 47 undi dan undi awal dengan majoriti 87 undi. Keduanya bolehlah dikatakan sebagai simpanan kekal bagi BN dalam mana-mana pertempuran pilihanraya samada umum mahupun kecil. Dari analisis ringkas, BN hampir pasti akan mengekalkan undi mereka di 6 PDM utama mereka berdasarkan keputusan pilihanraya 2013 yang lalu. BN menang di Pengkalan Kubor dengan majoriti 474 undi (Bebas : 5 , BN: 1051 , PKR: 577 ), PDM Simpangan dengan majoriti 516 undi (Bebas : 3 , BN: 837 , PKR: 321 ), PDM Bunohan dengan majoriti 419 undi (Bebas : 6 , BN: 805 , PKR: 386 ), PDM Jubakar Darat dengan majoriti 699 undi (Bebas : 3 , BN: 782 , PKR: 83 ), PDM Kampung Bendang Pak Yong dengan majoriti 241 undi (Bebas : 6 , BN: 1191 , PKR: 950 ) dan PDM Kampung Telok Jering dengan majoriti (Bebas : 2 , BN: 460 , PKR: 123 ). 



Bagi PKR pula, mereka hanya selamat pada dua PDM jika pola pengundian dan kecenderungan pengundi tidak berubah dengan ketara. Kekuatan utama mereka pada PDM Kampung Geting yang dimenangi dengan majoriti 524 undi (Bebas : 8 , BN: 1016 , PKR: 1540 ) dan disusuli dengan PDM Kedai Geting yang dimenangi PKR dengan majoriti 222 undi (Bebas : 1 , BN: 520 , PKR: 742). Berdasarkan analisis keputusan pilihanraya yang lepas juga, persaingan sengit akan berlaku di 4 lagi PDM yang 3 daripadanya dimenangi PKR dan satunya dimenangi oleh BN. Oleh kerana dimenangi dengan majoriti yang tipis oleh kedua-dua parti bertanding, maka bolehlah dikatakan PDM ini akan mengalami persaingan sengit.

Antara PDM yang dimenangi oleh PKR dengan majoriti yang rendah ialah PDM Kampung Ketil dengan majoriti 110 undi (Bebas : 10 , BN: 1005 , PKR: 1115), PDM Kampung Tebing dengan majoriti 165 undi (Bebas : 4 , BN: 503 , PKR: 668) dan PDM Telaga Bata dengan majoriti 67 undi (Bebas : 7 , BN: 680 , PKR: 747). Manakala satu-satunya PDM yang dimenangi BN dengan majoriti yang sangat rendah adalah PDM Tujoh. BN hanya memenanginya dengan majoriti 4 undi sahaja (Bebas : 10 , BN: 1133 , PKR: 1129). Sifir mudah bagi BN untuk memenangi pilihanraya kecil ini hanya satu, iaitu mengekalkan undi yang diperolehi dengan sebaiknya tanpa mengharapkan perpindahan undi dari PKR. Majoriti BN sudah terlalu selesa bagi kawasan Melayu seperti Pengkalan Kubor. 

Bagi PKR dan Pakatan Rakyat terdapat beberapa kemungkinan yang mesti diusahakan jika ingin memenangi pilihanraya kecil ini hatta dengan 1 undi. 

1. Mengekalkan semua undi yang diperolehi dalam pilihanraya yang lalu. 

2. Meningkatkan jumlah undi Majoriti dalam PDM sengit seperti Kampung Ketil, Kampung Tebing, Tujoh dan Telaga Bata. 

3. Memberikan saingan untuk pertambahan undi bagi PDM Kampung Bendang Pak Yong dan PDM Kampung Telok Jering. 

4. Perlu merampas PDM Tujoh. 

5. Secara Matematiknya Pakatan Rakyat memerlukan 8.55% pengundi BN (kira-kira 870 undi) untuk memenangi PRK Pengkalan Kubor dengan majoriti kecil. 

Sejak Dun Pengkalan Kubor diperkenalkan sebagai salah satu kawasan pilihanraya negeri sejak 1995, ia hanya sekali dimenangi oleh Parti Politik selain UMNO, iaitu pada pilihanraya umum yang ke 10 pada 1999. PAS memenangi kerusi tersebut dengan calonnya Wan Hussain Wan Ahmad yang mendapat undi sebanyak 7115 menewaskan calon BN pada ketika itu Mat Nawawi Bin Mat Jusoh yang mendapat undi sebanyak 4684 undi. Majoriti yang diperolehi adalah sebanya 2432 undi. Tidak mustahil jika berlaku tolak ansur di kalangan Parti Pakatan Rakyat dengan memberikan kerusi tersebut kepada PAS semula dengan dibantu pula semangat dan kekuatan ahli Parlimen Tumpat (YB Kamaruddin Jaafar) berserta 3 lagi dun di dalam parlimen tersebut yang juga dimenangi oleh PAS, sesuatu kemungkinan yang baik boleh dipersembahkan. Semangat kemenangan dalam Dun Kelaboran (YB Mohd Zaki Ibrahim), Dun Pasir Pekan (YAB Dato Ahmad Yakob yang juga Menteri Besar Kelantan) dan Dun Wakaf Bharu (YB Che Abdullah Mat Nawi) boleh diterjemahkan pada pilihanraya kecil Pengkalan Kubor. 

Keputusan Pilihanraya kali ini penting dalam menterjemahkan mood rakyat tempatan terhadap tahun pertama prestasi kerajaan PAS Kelantan di bawah pimpinan Menteri Besar baharu bagi negeri Kelantan YAB Dato Ahmad Yakob yang juga Pemangku Ketua Dewan Ulama Pas Pusat. Di samping ia juga sebagai suara kecil rakyat terhadap isu di Selangor dan lain-lain isu yang bersifat nasional.    

 Penganalisis Politik Desa 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...