Rabu, 23 Julai 2014

Kedai Bukan Islam Punca DNA Babi dikesan Dalam Cadbury


SHAH ALAM: Presiden Kesatuan Ilmuwan Islam dan Pendakwah, Dr.Zaharuddin Abdul Rahman berkata kemungkinan terdapat elemen kecuaian di peringkat penjual yang menyebabkan coklat cadbury tercemar dan dikatakan mengandungi kandungan ‘DNA babi’.

Zaharuddin menjelaskan bahawa beliau tidak dapat mengenalpasti lagi sama ada terdapat elemen sabotaj dalam kes tersebut. Beliau berkata demikian selepas mendapat jemputan daripada Syarikat Cadbury Malaysia bersama panel bebas syariah dan seorang wakil badan bukan kerajaan (NGO) Islam.

“Hasil pemeriksaan mendapati kemungkinan kecuaian di peringkat penjual telah menyebabkan coklat itu telah bercampur dengan produk makanan yang tidak halal. “Mungkin habuk atau apa sahaja bahan telah bercampur dan menjadikan produk coklat tersebut tercemar,” katanya dalam satu sidang media selepas melawat kilang tersebut.”


Beliau juga turut menyarankan untuk mewujudkan satu akta bagi mengetatkan lagi produk-produk halal yang dijual di Malaysia. “Ini adalah bagi mewujudkan prosedur sistem pengeluaran yang jelas seperti yang dilakukan oleh perbankan Islam yang mempunyai manual yang cukup jelas.

“Makanan memerlukan piawaian dalam operasi pengeluaran atau ‘standard operating procedure’ yang jelas untuk menyemak dan membentuk panel syariah di peringkat syarikat,” jelasnya. 

Ketua Hal Ehwal Korporat Mondelez Malaysia, Raja Zalina Raja Safran berkata syarikat multinasional seperti Cadbury beroperasi dengan penuh komitmen dan memahami keperluan masyarakat Malaysia termasuk dari aspek pensijilan halal, keselamatan dan kualiti makanan. 

“Saya mengetahui bahawa masyarakat masih was-was dan kurang berkeyakinan, namun kami tetap menjalankan tanggungjawab sebaiknya kepada pengguna. “Dengan menjemput panel bebas syariah ke syarikat Cadbury ini adalah salah satu usaha kami untuk meningkatkan keyakinan pengguna dan mengeluarkan keputusan hasil penilaian mereka. “Diharap hasil pemeriksaan mereka ini dapat mengembalikan keyakinan pengguna terhadap coklat Cadbury,” ujarnya. 

Polemik kontroversi itu tercetus apabila Kementerian Kesihatan Malaysia pada 23 Mei lalu mendapati kajian sampel yang diambil daripada Dairy Milk Hazelnut (pendaftaran nombor 200813M01H I2 yang luput tarikh 13 November 2014) dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond 175g (pendaftaran 221013N01R I1 tarikh luput 15 Januari 2015) adalah positif DNA babi. 

Bagaimanapun 2 Jun lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan coklat itu bebas daripada DNA babi berdasarkan analisis terhadap dua produk yang sama diambil dari kilang terbabit.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...