Rabu, 9 April 2014

Kerajaan Pakatan Rakyat Hapuskan Diskaun 7% Pembelian Rumah Untuk Bumiputra

Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) negeri Selangor pada Selasa mengumumkan keputusan memansuhkan pemberian diskaun atau potongan harga antara lima hingga tujuh peratus untuk bumiputera bagi pembelian rumah mampu milik yang dibina oleh kerajaan negeri itu di bawah Skim Rumah Selangorku.

Pemansuhan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar Negeri, Iskandar Abdul Samad pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Iskandar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Cempaka ketika mengumumkan perkara itu berkata, kerajaan PR Selangor tidak lagi memberikan diskaun lima hingga tujuh peratus kepada pembeli bumiputera itu kerana harga rumah mampu milik yang dibina oleh kerajaan negeri adalah mengikut harga pasaran dan telah diberikan subsidi.

Keputusan kerajaan PR Selangor itu dibidas oleh ADUN pembangkang dari Barisan Nasional (BN).

Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Mohd Shamsudin Lias berkata, kerajaan PR negeri tidak membuat keputusan yang membebankan golongan bumiputera untuk memiliki kediaman sendiri.

“Ketika BN mentadbir Selangor sebelum ini, kerajaan negeri tetap memberi diskaun tujuh peratus itu kepada bumiputera walaupun telah memberi subsidi terhadap pembinaan rumah mampu milik di bawah RM42,000.

“Ini kerana kedudukan kewangan golongan itu masih lagi rendah. Bagaimanapun kerajaan negeri hari ini memansuhkan diskaun tujuh peratus itu, yang pasti akan membeban dan menyukarkan bumiputera yang berpendapatan rendah untuk memiliki kediaman sendiri,” kata Mhd Shamsudin.

Beliau bercakap kepada pemberita di lobi DUN Selangor di Shah Alam, Selasa.

Sementara itu, ADUN BN Dengkil, Shahrum Mohd Sharif pula mempertikaikan komposisi bilangan unit rumah mampu milik yang dibina oleh kerajaan negeri di bawah Skim Rumah Selangorku itu, yang hanya memperuntukkan 10 peratus rumah jenis A, iaitu di bawah harga RM42,000.

Sebaliknya, kata Shahrum, kerajaan PR Selangor menetapkan peratusan lebih besar untuk pembinaan rumah mampu milik jenis B dan C yang berharga antara RM100,000 hingga RM200,000, iaitu sebanyak 30 peratus.

“Begitu juga untuk perumahan mampu milik jenis D yang berharga antara RM220,000 hingga RM250,000, yang mana kerajaan negeri tidak mengehadkan peratusan pembinaannya kepada pemaju,” kata Shahrum.

“Mengapa kerajaan negeri hanya bina 10 peratus sahaja rumah mampu milik di bawah harga RM42,000?

“Ramai lagi bumiputera tidak mampu memiliki kediaman mampu milik melebihi harga RM42,000, terutama yang berpendapatan rendah.

“Sepatutnya kerajaan negeri bina lebih banyak rumah mampu milik di bawah harga berkenaan. Jika ini keadaannya bagaimana usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan ekuiti bumiputera dalam pemilikan perumahan,” soal Shahrum.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...