Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA 2014) yang akan diadakan November ini dijangka mampu mencatatkan nilai kontrak dan jualan langsung lebih besar berbanding MAHA 2012, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
MAHA 2012 merekodkan nilai jualan langsung sebanyak RM26 juta berbanding RM23 juta pada MAHA 2010. MAHA tahun ini akan diadakan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang dari 20 hingga 30 Nov.
"Kami (kementerian) belum menetapkan lagi sasaran bagi MAHA 2014, namun kami harap ia lebih baik daripada sebelum ini.
"Selain meningkatkan nilai jualan langsung dan nilai kontrak, kami juga lebih mementingkan kepada pencapaian jangka panjang, boleh mengembangkan rangkaian perniagaan, rakan kongsi dan ejan dari dalam dan luar negara," katanya pada sidang media selepas majlis prapelancaran Maha 2014, di sini hari ini.
Beliau juga menjangkakan lebih 3.5 juta orang akan mengunjungi pameran antarabangsa dwitahunan sepanjang 11 hari itu, mengatasi 3.3 juta pengunjung pada MAHA 2012 sekaligus melakarkan nama dalam Malaysia Book Of Records.
Ismail Sabri berkata MAHA 2014 bertemakan 'Agroteknologi - Pemangkin Transformasi' merupakan pameran pertanian yang terulung di rantau ini yang memberi penekanan kepada inovasi dan perkembangan progresif industri agro makanan dan industri asas tani.
Jelas beliau, MAHA 2014 akan terus unggul dengan mengumpulkan penggiat industri dan golongan prefesional dari pelbagai sektor untuk meneroka dan merebut peluang yang ada dalam pertanian inovatif dan agroperniagaan.
Menurutnya acara atu dianjur serentak dengan Hari Peladang, Penternak & Nelayan Kebangsaan, sebagai penghargaan kerajaan kepada golongan peladang, penternak dan nelayan di seluruh negara.
Tambah beliau, sebagai acara dwitahunan, MAHA 2014 juga merupakan usaha strategik bagi mempromosi Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dalam pertanian, agromakanan, teknologi dan inovasi, agroperniagaan, agropelancongan dan gayahidup agro.
"Tahun ini penekanan khusus akan diberikan kepada pembangunan belia dan usahawan tani yang berpotensi. Kami akan adakan unit Agroprenuer Muda dan pameran khas untuk unit ini.
"Ia juga merupakan arena terbaik untuk menjalinkan perkongsian bestari antara syarikat agromakanan yang terbaik di rantau ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan