Ahad, 5 Januari 2014

@NajibRazak @AliHamsa55 @tksukjpm Kerajaan Harus Bijak Membelanja Berjimat Cermat Bagi Mengelakkan Pembaziran

Kesemua yang disebutkan di atas merupakan antara 11 langkah yang diumumkan. Banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mengurangkan perbelanjaan. Antaranya seperti penganjuran acara rasmi kerajaan yang mana sambutannya kadang kala menampakkan pembaziran. Sebagai contoh, kos-kos untuk menyambut jemputan khas sewajarnya dikurangkan. Acara rasmi kerajaan kadang kala tidak sampai satu hari pun, tetapi dibimbangi perbelanjaan untuk menyambut jemputan khas antara kos yang tinggi untuk penganjuran acara rasmi kerajaan.

Sudah sampai masanya, kos persiapan untuk menyambut jemputan khas dibelanjakan secara bersederhana. Selain itu, majlis rasmi kerajaan sewajarnya diadakan secara bersederhana tanpa adanya tentatif program yang tiada kaitan dengan majlis berkenaan, misalnya acara hiburan yang tiada kena-mengena dengan acara rasmi berkenaan. Wang tersebut sebaiknya digunakan untuk kegunaan lain yang memanfaatkan rakyat.

Kerajaan dicadangkan melaksanakan program bekerja dari rumah bagi profesion yang tidak terlalu melibatkan pelanggan. Misalnya, suatu ketika dahulu Jabatan Kerja Raya telah membenarkan 39 pekerjanya bekerja dari rumah. Selain boleh menjimatkan perbelanjaan kerajaan melalui pengurangan perbelanjaan, misalnya kos elektrik, ia juga dapat mengurangkan kos sara hidup kakitangan awam, contohnya, belanja petrol.

Bahkan, ia boleh mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar-bandar besar selain dapat memudahkan para pekerja sektor awam menyelesaikan urusan keluarga dengan mudah. Prestasi kakitangan sebegini diukur berdasarkan outcome yang mereka dapat berikan kepada jabatan. Ada kemungkinan produktiviti para pekerja sektor awam adalah lebih baik apabila bekerja dari rumah berbanding bekerja di pejabat.

Program ini perlu diperluaskan tetapi pada masa yang sama perlu dipantau rapi agar benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan kerajaan. Apa pun sasaran untuk mengurangkan perbelanjaan biarlah berpaksikan kepada kecekapan, keberkesanan dan ekonomik (3E). Kecekapan di sini bermakna kerajaan perlu menggunakan sumber-sumber yang ada secara optimum dan tidak berlakunya pembelian aset yang tidak diguna pakai.

Sumber-sumber ini pula sewajarnya boleh digunakan bagi memaksimumkan kualiti perkhidmatan awam untuk tujuan kebaikan rakyat. Apa akan terjadi jika pembelian aset mahal tetapi tidak boleh pula digunakan untuk kebaikan rakyat. Menggunakan sumber pula mestilah bertujuan untuk mencapai sasaran, matlamat dan objektif yang telah ditetapkan. Ini menggambarkan keberkesanan sesuatu program kerajaan.

Dari sudut ekonomik pula ia menandakan kerajaan menggunakan wang rakyat berasaskan nilai untuk wang bagi setiap sen wang rakyat. Apabila objektif dapat dicapai sepenuhnya (keberkesanan) menggunakan sumber-sumber secara optimum (cekap) pada kos yang ekonomik, insya-Allah kewangan negara akan berada pada tahap yang mampan. Di sini, pembaziran dan ketirisan dapat dibendung pada tahap paling minimum.

Sebarang perancangan sesuatu projek atau program perlu melalui analisis kos faedah di samping penerapan amalan pengurusan risiko dalam sektor awam. Amalan pengurusan risiko ini bakal memberi kebaikan kepada negara kerana ia dapat mengurangkan risiko kegagalan sesuatu projek, justeru mengurangkan pembaziran wang rakyat.

Bahkan, pengurusan risiko juga boleh mengenal pasti bidang-bidang atau sektor-sektor yang memberi impak negatif ke atas kewangan negara di samping mengenalpasti potensi sesuatu projek tersebut ke atas pembangunan dan kemajuan negara.Kebertanggungjawaban amalan pengurusan risiko perlu melibatkan keseluruhan pekerja sektor awam dalam sesebuah jabatan.

Misalnya, jika sebuah unit dalam jabatan kerajaan dikenal pasti sebagai paling banyak melakukan pembaziran sedangkan objektif unit tersebut tidak dapat dicapai, maka tindakan pembetulan perlu disegerakan. Contoh lain, amalan pengurusan risiko amat berguna melibatkan projek-projek yang berkemungkinan besar berisiko terbengkalai atau melebihi kos sebenar. Sekali lagi tindakan pembetulan perlu disegerakan bagi mengelak berlakunya pembaziran secara besaran-besaran.

Kerajaan juga perlu menjadikan unit audit dalaman sebagai antara unit terpenting dalam memperkasakan sektor awam. Ini kerana unit audit dalaman boleh membantu kerajaan dalam mengurangkan pembaziran, ketirisan, rasuah dan seterusnya membantu dalam hal ehwal 3E serta memperkasakan amalan pengurusan risiko dalam sektor awam.

Unit audit dalaman juga perlu diberi ‘kuasa’ menyeluruh tanpa perlu rasa bimbang kepada mana-mana pihak agar sebarang ketirisan dan penyelewengan serta pembaziran dapat dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya. Tujuannya tidak lain tidak bukan bagi memperkukuhkan kedudukan kewangan negara dan pada masa yang sama kualiti perkhidmatan awam dapat dipertingkatkan pada tahap terbaik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...