Isnin, 9 Julai 2012

Blogger Mati Di Tembak Polis Di Kompleks Jabatan Perdana Menteri

Seorang penganggur yang menggelarkan dirinya sebagai 'Imam Mahadi' mati ditembak polis ketika mengamuk bersama seorang wanita dengan melibaskan pedang samurai di luar perkarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, suspek yang dikenali sebagai Khalil Afandi Hamid, 47, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari.

Manakala suspek wanita, seorang bekas pelajar Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM) berusia berusia 28 tahun, terkena tembakan di bahagian paha kanan dan sedang mendapatkan rawatan di hospital sama.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata kedua-dua suspek cuba masuk ke pos pengawal tetapi dihalang oleh polis bantuan tetapi suspek lelaki itu mengacukan pedang ke leher anggota polis bantuan.

Oleh kerana takut, anggota polis bantuan membenarkan kedua-dua suspek masuk ke dalam perkarangan, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini.

Abdul Razak berkata ketika berada di dalam perkarangan itu, kedua-dua suspek telah melibaskan pedang dan merosakkan dua cermin kereta jenis Hyundai Accent dan Perodua Kancil milik petugas JPM.

Katanya anggota polis cawangan pencegahan jenayah yang tiba di tempat kejadian turut diserang kedua-dua suspek dengan pedang samurai sehingga kereta mereka mengalami kerosakan dan cermin kereta pecah.

Menurutnya sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MVP) Putrajaya yang
tiba selepas itu dikatakan cuba memujuk suspek tetapi diserang pada jarak dekat dengan menggunakan pedang samurai.

"Akibatnya seorang anggota MPV telah melepaskan tiga das tembakan yang terkena di tangan kanan dan bahagian ari-ari lelaki itu manakala suspek wanita terkena tembakan di paha kanan.

Abdul Razak berkata polis masih menyiasat motif kejadian.

Siasatan awal mendapati suspek lelaki yang mempunyai seorang anak mengaku dirinya 'Imam Mahadi' manakala suspek wanita mempunyai dua orang anak.

Kedua-dua suspek yang menganggur itu dikatakan telah mengenali satu sama lain sejak seminggu lepas. Mengenai dakwaan mereka adalah blogger, Abdul Razak berkata ia masih dalam siasatan.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...