Selasa, 3 April 2012

UMNO Kedah Telah Bersiap Sedia Menghadapi PRU-13


Umno Kedah turut menyenaraikan beberapa nama individu terdiri daripada golongan profesional sebagai calon kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umumke-13(PRU13). Pengerusi Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, kebanyakan golongan profesional yang disenaraikan itu adalah doktor perubatan, peguam dan ahli perniagaan.

Menurutnya, boleh dikatakan hampir semua bahagian sudah menghantar cadangan senarai calon yang dirasakan layak untuk bertanding di kawasan masing-masing kepada Umno Pusat dan salinan kepada Umno negeri. “Namun terdapat dua bahagian belum berbuat demikian iaitu Sungai Petani dan Padang Serai. Pengurusan kedua-dua bahagian berkenaan sehingga kini masih di bawah seliaan Umno negeri. 


“Bagi Umno Bahagian Sungai Petani, Datuk Mukhriz Tun Mahathir akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pengurusan dan pentadbiran untuk menentukan calon yang akan disenaraikan nanti,” katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan kepada Sekolah Rendah Islam Darul Aman, di sini semalam. Bagaimanapun beliau percaya proses menghantar senarai calon berkenaan kepada pusat dan negeri akan selesai dalam tempoh seminggu sekiranya tiada sebarang masalah.

“Kita turut difahamkan terdapat muka baru yang dipilih menjadi calon kerana pusat sudah menetapkan setiap kawasan perlu menghantar tiga nama dan semestinya dua daripada tiga nama itu daripada kalangan muka baru. “Bagi kawasan Parlimen dan Dun kalah pada PRU lalu, sudah tentu ketiga-tiga nama dicadangkan adalah muka baru. 

Kita tidak menolak kemungkinan ada bahagian mencadangkan kembali nama calon yang pernah bertanding,” katanya. Menurutnya, beliau sendiri masih belum melihat salinan senarai nama yang dihantar ke pejabat Umno negeri dan tidak pasti berapa peratus muka baru yang dicadangkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...