Selasa, 3 April 2012

Hujan Lebat Mengakibat Banjir Di Kuala lumpur


Beberapa laluan utama menuju ke ibu negara mengalami kesesakan teruk pagi ini akibat banjir kilat dan kemalangan kecil berikutan hujan lebat sejak awal hari ini. 

Antara kawasan yang mengalami kesesakan ialah Lebuhraya Persekutuan, Jalan Lingkaran Tengah 2, Lebuhraya Sungai Besi dan Duta-Ulu Kelang Expressway. 

Kesesakan itu juga berpunca daripada penutupan Terowong Stormwater Management And Road Tunnel (SMART) bermula pukul 7 pagi tadi. 

Menurut jurucakap SMART penutupan itu bagi membolehkan air banjir disalurkan ke terowong tersebut untuk mengatasi banjir kilat di beberapa laluan termasuk di hadapan Menara Tabung Haji di Jalan Tun Razak dan Jalan Jelatek di Keramat. 


Jurucakap Polis Trafik Kuala Lumpur pula berkata kesesakan lalu lintas berlaku di hampir semua laluan menuju ke ibu kota namun keadaan adalah terkawal. 

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan ribut petir dan hujan lebat di beberapa tempat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor termasuk di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat akan berterusan sehingga tengah hari ini. 

Turut mengalami keadaan sama ialah Ledang, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulaijaya, Johor Baharu dan Kota Tinggi di Johor serta Jasin di Melaka. 

Keadaan serupa juga dijangka berlaku di Segamat, Johor serta Melaka Tengah dan Alor Gajah di Melaka, yang mungkin menyebabkan angin kencang serta banjir kilat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...