Jumaat, 30 Mac 2012

Rasuah Politik Paling Tinggi Dalam Malaysia Benarkah


Seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hari ini mendakwa, rasuah politik yang paling tertinggi, yang patut dikutuk adalah parti politik yang menjanjikan syurga jika pengundi memberi sokongan kepada mereka dalam pilihan raya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, "menjanjikan syurga kepada penyokong adalah rasuah politik di tahap tertinggi."

Wakil rakyat dari Umno itu berkata, Pakatan Rakyat (PR) sering menuduh BN memberi rasuah apabila dikatakan sering menjanjikan sesuatu sebagai ganti kepada undi.

Namun katanya, pemimpin-pemimpin PR selalu terlupa bahawa mereka juga menjanjikan pelbagai perkara umpama ‘memberi bulan dan bintang’ sehinggakan janji itu amat sukar dilaksanakan.
“Bagaimana pula tuduhan pembangkang yang selalu menyebut kerajaan zalim, jahat, salah guna kuasa, sila sokong saya. Adakah itu bukan rasuah politik?

“Jadi mana lebih positif, sokong untuk mendapatkan pembangunan atau sokong semata-mata atas dasar sentimen?,” katanya pada Wacana Sinar Harian ke-13 bertajuk "Rasuah Politik: Persepsi atau Realiti" di sini Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.

Katanya lagi, pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada April 2010, PR turut dikesan menggunakan jentera kerajaan negeri sebagai penggerak kempen mereka.
“Pada pilihan raya itu, Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) telah mengumumkan bermacam-macam perkara, contohnya umum bonus kepada Ketua Kampung untuk Parlimen Hulu Selangor sahaja.

“Selain itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga datang dengan mengumumkan pemberian 100,000 title of land (TOL) kepada penduduk,” katanya.

Abdul Rahman yang juga anggota Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah turut menyeru kepada semua pihak agar bersama-sama membanteras rasuah kerana jenayah ini merentasi sempadan kepartian.

“Jangan tutup sebelah mata sahaja, melihat kesalahan orang lain tetapi dalam parti dan negeri sendiri tidak dilihat.

“Oleh itu, persepsi rasuah adalah senjata politik paling kuat. Ada pihak akan mewarnai seolah-olah BN itu korup dan berkata mereka putih suci, perkara ini patut dihentikan,” katanya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...