Selasa, 27 Mac 2012

PRU13: BN Yakin Akan Merampas Selangor Dalam Pilihan Raya Yang Akan Datang


Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar melahirkan keyakinan Barisan Nasional (BN) Selangor mampu menawan kembali negeri ini berdasarkan penerimaan kembali rakyat yang dilihat memihak kepada parti itu. Menurutnya, keyakinan itu adalah hasil daripada pemerhatian beliau sendiri yang dibuat semasa mengadakan lawatan-lawatan ke beberapa kawasan di negeri ini. Katanya, beliau yakin BN akan merampas kembali negeri ini setelah rakyat Selangor dilihat kecewa dengan Kerajaan Negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat (PR). 

“Peluang BN adalah baik dan saya mengikuti kenyataan-kenyataan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan saya sendiri selepas melawat kawasan-kawasan tersebut. “Saya yakin BN akan ambil kembali Selangor daripada PR setelah mereka (PR) menghampakan rakyat dan memusnahkan negeri Selangor ini dan kita takkan benarkan perkara itu berlaku,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat tahunan kali kesembilan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Selangor di pejabat Umno Selangor di sini semalam. 


Abu Hassan yang juga Yang Dipertua Mubarak berkata, untuk memastikan BN mampu menawan kembali negeri ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, maka Mubarak bekerjasama dengan Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor. Katanya, sebanyak 40 fasilitator Mubarak dilantik semalam bagi membantu di kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen yang dijangka mampu menang. “Mubarak akan sentiasa membantu serta bekerjasama dengan BN Selangor dan akan meneruskan usaha ini. “Hari ini (semalam) dapat pelantikan fasilitator yang akan membantu di kawasan-kawasan dijangka menang dan setakat ini kerjasama tersebut mendapat sambutan baik daripada ketua-ketua bahagian,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik kehadiran kembali bekas Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib yang dilantik sebagai Ketua Biro Politik dan Tugas-Tugas Khas bagi Badan Bukan Kerajaan (NGO) tersebut. Mubarak merupakan sebuah NGO yang ditubuhkan sebagai platform yang diantaranya berfungsi menyumbang pandangan dan fikiran membina mengenai isu-isu semasa kepada kerajaan dan masyarakat. Mubarak terdiri daripada bekas anggota Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri daripada semua komponen parti dalam BN. 

Sementara itu, Noh yang turut hadir merasmikan mesyuarat tersebut berkata, pihaknya akan bersama-sama dengan Mubarak untuk bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan BN menang. “Adunan pemimpin-pemimpin Mubarak terutamanya mantan-mantan Menteri Besar memainkan peranan yang amat penting kerana mereka dululah yang memajukan negeri ini. “Saya amat yakin atas usaha mereka itulah saya rasa mereka juga tidak rela untuk melihat segala apa yang mereka bangunkan dulu dimusnahkan oleh PR yang dilihat begitu rakus mengagihkan-agihkannya malah tidak menunaikan janji,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...