Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu menasihatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan janji manis pembangkang yang menawarkan pelbagai bantuan percuma kepada mereka jika menang dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.
Katanya janji-janji itu ditabur oleh pembangkang semata-mata untuk meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya umum nanti walaupun mereka sedar janji tersebut tidak dapat ditunaikan.
"Buktinya, Kedah yang dikuasai pembangkang sehingga hari ini tidak mampu menyelesaikan masalah bekalan air dan lain-lain kemudahan rakyat.
"Bekalan air kotor menyebabkan rakyat terkena penyakit," katanya ketika berucap merasmikan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Bukit Pasir, di sini, Sabtu.
Muhyiddin berkata tidak ada negara lain di dunia ini selain daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sanggup memberikan pelbagai bentuk bantuan subsidi termasuk yang terbaru program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang melibatkan peruntukan RM16.38 bilion.
Beliau berkata bantuan itu untuk memastikan rakyat tidak tertekan dengan kenaikan harga barang pada masa kini.
"Menerusi program BR1M, kerajaan beri bantuan RM500 kepada rakyat yang layak untuk meringankan beban sara hidup ekoran kenaikan harga barang walaupun kenaikan harga barang di Malaysia tidak begitu ketara.
"Sedangkan di negara-negara lain, kenaikan harga barang mencecah antara 50 peratus hingga 100 peratus," katanya.
Katanya kerajaan juga memperkenalkan KR1M untuk membolehkan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah mendapatkan bekalan barang keperluan dengan harga yang berpatutan atau lebih murah berbanding kedai biasa
Tiada ulasan:
Catat Ulasan