Isnin, 13 Februari 2012

Taktik Premis Judi Tawarkan Cabutan Bertuah Kepada Pelangan


Sekiranya kalah berjudi, pelanggan masih boleh mengharapkan nasib untuk memenangi hadiah cabutan bertuah berupa wang tunai. Sebuah premis di Petaling Jaya City Centre (PJCC), memberi kad mempunyai nombor cabutan bertuah secara percuma kepada yang datang bermain judi berkomputer di situ sebagai daya penarik kepada pelanggan termasuk pelajar sekolah yang tinggal di Taman Medan dan Taman Datuk Harun.

Sinar Harian mendapati lebih 500 kad cabutan bertuah dikumpulkan di dalam sebuah kotak khas. Bagaimanapun, ‘nyawa’ premis yang baru dua minggu beroperasi itu berakhir, selepas diserbu polis dari Jabatan Anti Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) dengan bantuan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, malam kelmarin. 


Pegawai Turus D7 IPPK, Deputi Superintendan Izwan Abd Karim berkata, polis menyerbu lima premis di PJCC, kira-kira jam 10 malam, selepas melakukan risikan berdasarkan maklumat awam. Katanya, dalam serbuan itu, 15 seorang remaja, berumur lingkungan 15 hingga 30 tahun, serta enam penjaga premis, diberkas. Pemerhatian mendapati, beberapa pelanggan melarikan diri melalui pintu belakang premis. Izwan berkata, polis merampas 187 slot mesin perjudian berkomputer jenis kuda dan roulette serta wang RM6,500.

“Premis ini beroperasi tanpa lesen sejak dua minggu lalu dan hanya membenarkan pelanggan tetap sahaja untuk bermain. “Kamera litar tertutup (CCTV) juga dipasang pada lima premis untuk memantau pergerakan pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan. Katanya, polis sedang menyiasat sama ada pemilik lima premis ini milik individu yang sama. 

Dalam serbuan berasingan, dua wanita warga China berumur awal 20-an diberkas di sebuah pusat hiburan di Damansara. Wanita itu menyalahgunakan pas pelajar dengan bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...