Khamis, 22 Mac 2012

Pelayar Siber Mudah Jadi Mangsa Penipuan Jika Dedah Maklumat Peribadi


Sikap pengguna internet yang kurang berhati-hati, tamak, mudah percaya terhadap apa yang dipaparkan di internet serta suka memaparkan segala maklumat peribadi dan rahsia diri di laman sosial antara faktor menyebabkan kes penipuan siber terus meningkat di negara ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt Kol (B) Datuk Husin Jazri, berkata alam siber kini membuka ruang besar kepada penjenayah kerana capaian internet yang luas dan melepasi sempadan. Jika dulu serangan komputer membabitkan aspek teknikal seperti serangan virus, tetapi kebanyakan serangan komputer sekarang babitkan manusia yang manipulasi elemen tamak, kurang kesedaran, takut dan mudah percaya. 

Husin Jazri, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Katanya, kajian pihaknya baru-baru ini mendapati daripada lima e-mel yang diterima oleh seseorang individu di negara ini, satu daripadanya berpotensi mempunyai unsur penipuan. Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna internet supaya bersikap kritikal terhadap apa saja yang diterima menerusi e-mel atau dipaparkan dalam siber. 


“Gunalah teknologi canggih apa pun (untuk mengekang jenayah penipuan internet), ia hanya boleh jadi alat pembantu saja, tetapi lebih penting ialah pendidikan iaitu mengetahui bagaimana cara seseorang itu menipu bagi mengelakkan kita daripada ditipu di alam siber,” katanya selepas perasmian sambutan Safer Internet Day anjuran CyberSecurity Malaysia di sini, semalam. 

Perasmian program tahunan kali ketiga yang pertama kali diadakan di luar Kuala Lumpur itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Perak, Datuk Mohd Zahir Khalid. Husin berkata, sepanjang bulan lalu, 954 insiden keselamatan siber dilaporkan oleh pengguna internet ke Pusat Bantuan Cyber999 CyberSecurity Malaysia dengan kes penipuan paling banyak dilaporkan iaitu 492 kes, diikuti pencerobohan, spam, kod berbahaya dan gangguan. Katanya, daripada 492 kes penipuan, 346 kes membabitkan phising atau mencuri maklumat kata laluan bagi memasuki data maklumat peribadi seseorang. 

Beliau berkata, ini termasuk akaun bank, diikuti 45 kes Nigerian scam iaitu kononnya mewarisi harta yang banyak dan ingin diserahkan kepada bakal mangsa dengan syarat dikenakan bayaran dengan kadar peratusan tertentu. “Kes penipuan siber di negara ini dijangka terus meningkat berikutan jangkaan pertambahan pengguna internet terutama di kalangan mereka yang kurang berhati-hati, tamak, mudah percaya terhadap apa yang dipaparkan di internet serta suka memaparkan segala maklumat peribadi dan rahsia diri di laman sosial,” katanya. 

Husin berkata, jika dulu serangan komputer membabitkan aspek teknikal seperti serangan virus, tetapi kebanyakan serangan dalam komputer sekarang membabitkan manusia yang memanipulasi elemen tamak, kurang kesedaran atau tidak tahu, takut dan mudah percaya. 

Katanya, penjenayah siber buat penyelidikan dulu, sama seperti kaedah untuk menarik orang menjadi keldai dadah, dia bukan lakukan dalam satu hari, kadang kala dua hingga tiga tahun bagi mangsa jatuh cinta dan mempunyai kepercayaan tinggi terhadap mereka sebelum mula memasang perangkap. 

“Lebih membimbangkan apabila daripada 26 kes gangguan siber dilaporkan, 21 kes membabitkan perbuatan membuli dengan sebahagian besarnya adalah pelajar sekolah yang membuli sesama rakan persekolahan atau guru mereka. Selebihnya tiga kes mengintip dan masing-masing satu kes gangguan perkauman dan seksual,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...