Khamis, 2 Februari 2012

Lebih 140,000 Layak Mengundi Masih Belum Berdaftar


Di Negeri Sembilan setakat 31 Disember 2011 terdapat seramai lebih 140,000 orang yang berumur lebih 21 tahun yang layak mengundi tapi tidak mendaftar sebagai pengundi dan 90 peratus daripadanya ialah orang Melayu. 

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (kanan) berkata, apa yang disebut oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bahawa orang Melayu dikesan paling ramai tidak mendaftar sebagai pengundi daripada keseluruhan 3.7 juta orang rakyat yang layak berbuat demikian, tidak memeranjatkan beliau kerana di Negeri Sembilan sendiri mempunyai masalah yang sama.


"Jadi, apa yang disebut oleh Abdul Aziz itu dalam laporan akhbar hari ini, agak merunsingkan," katanya di Seremban hari ini. Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Abdul Aziz semalam bahawa orang Melayu paling ramai belum mendaftar sebagai pengundi. Mohamad berkata, mereka ini perlu faham bahawa mengundi itu merupakan hak asasi di dalam perlembagaan. 

Katanya, setiap warganegara diberikan hak untuk mengundi apabila pilihan raya diumumkan dan undi ini boleh menentukan masa depan negara. "Negara kita mengamalkan demokrasi berparlimen di mana kerajaan yang ditubuhkan melalui pilihan raya dan melalui pilihan raya juga mana-mana parti yang mendapat undi yang terbanyak diberikan kepercayaan untuk memerintah negara.

"Jadi, kalau orang Melayu sendiri tidak mengambil endah tentang masa depan mereka, ini merupakan sesuatu yang amat dikesali. Saya harap tanggungjawab ini perlu dimainkan oleh semua pihak termasuk ibu bapa dan pemimpin masyarakat," katanya. 

Katanya lagi, bukan susah sangat hendak pergi mendaftar sebagai pengundi kerana semua rakyat Malaysia yang mempunyai mykad dan cukup umur 21 tahun, boleh mendaftar menjadi pengundi dan pendaftaran pula boleh dibuat di mana-mana pejabat pos.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...