Jumaat, 10 Februari 2012

Calon PRU Mungkin Tidak Dibenar Tarik Diri Ketika Tempoh Bertenang


KUALA LUMPUR 9 Feb. — Individu-individu yang telah disahkan sebagai calon bagi sesuatu pilihan raya mungkin tidak dibenarkan untuk menarik diri dalam tempoh bertenang selepas proses penamaan calon.

Itu antara peraturan baru yang dijangka dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan hanya calon-calon yang serius sahaja bertanding pada pilihan raya, kata Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, Datuk Seri Maximus Ongkili hari ini. 


"Itu antara cadangan jawatankuasa yang telah diterima oleh SPR. Dengan tidak ada ”cooling off period”, calon yang diterima (sebagai calon pilihan raya) secara automatik tidak boleh menarik diri,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ketujuh jawatankuasa itu di Bangunan Parlimen di sini.

Menurutnya SPR turut menerima cadangan supaya tidak ada lagi tempoh bantahan semasa penamaan calon. Bagaimanapun, katanya bagi membolehkan peraturan itu dilaksanakan, pindaan pada Draf Peraturan Perjalanan Pilihan Raya perlu dibuat terlebih dahulu dan dijangka selesai pada awal April ini. "Kita harap peraturan baru itu akan dapat dibenarkan pada PRU-13,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...