Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kecewa apabila Kementerian Sumber Manusia masih bermain ‘tarik tali’ mengenai perlaksanaan gaji minimum RM900 untuk pekerja swasta.
Presidennya, Mohd Khalid Atan berkata, sehingga kini isu masih tertangguh kerana belum ada kata putus daripada kerajaan mengenai pelaksanaannya.
“Isu ini telah lama dikemukakan pihaknya kepada kerajaan dan perhatian mula diberikan pada awal tahun lalu apabila pintu rundingan dibuka untuk MTUC, bersama dengan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Gabungan Persatuan Pengguna-pengguna Malaysia (Fomca).
“Desakan supaya gaji minimum dilaksanakan adalah kehendak rakyat dan sudah tiba masanya kerajaan membuat keputusan mana yang baik kepada pekerja swasta sebagaimana dilaungkan dalam slogan transformasi,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan yang dilaporkan dalam akhbar ini semalam bahawa pelaksanaan gaji minimum RM900 untuk pekerja swasta masih belum diputuskan,
Mohd Khalid berkata, isu itu perlu diselesaikan segera kerana seramai lima juta pekerja swasta di negara ini boleh menjadi penentu kepada pilihan raya umum akan datang yang bakal memberi tamparan hebat kepada kerajaan sekarang.
“Gaji minimum bukan perkara pelik untuk diamalkan di negara ini kerana sudah diamalkan di banyak negara di seluruh dunia,” katanya.
Menurutnya, Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) terlalu lambat memberi respons setelah menerima laporan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan