Jumaat, 10 Februari 2012

Tahniah Abon Lawak Abon Setaraf Dengan Hollywood


SEPANJANG Abon dikenali sebagai pelawak menerusi sitkom Kampung Seri Wangi pada tahun 1983 hingga kini, tiada apa yang lebih membanggakannya sehinggalah dia mendapat pujian daripada seorang peminat baru-baru ini. Abon amat terharu apabila seorang peminat dari Melbourne, Australia datang kepadanya dan melabelkan lawaknya setaraf pelawak Hollywood sewaktu menonton persembahan Lawak Ke Der? Jumaat lalu. 

Katanya, ahli perniagaan berkenaan mula melihat aksinya sewaktu dia mengacara persembahan Konsert Pop Yeh-Yeh 60-an ketika pulang bercuti di tanah air. “Saya kenal dia sebagai Datuk Alim. Dia sudah lama menetap di Australia dan datang ke sini untuk tonton konsert Pop Yeh Yeh. Dia sekali lagi kembali ke Malaysia bersama-sama keluarga semata-mata untuk melihat saya dalam Lawak Ke Der?


“Pada 3 Februari itu, dia dan isteri sanggup tunggu saya di Istana Budaya sehingga saya selesai segala urusan. Dia tidak sangka pelawak tempatan juga berkualiti. Lawak saya setaraf pelawak Hollywood, kata Datuk Alim, ” ceritanya. Jelas Abon, dia cukup terharu apabila mendengar ucapan tahniah daripada orang luar yang tidak pernah terdedah dengan dunia hiburan tempatan. 

Kata-kata ikhlas daripada peminat berkenaan menyuntik semangatnya untuk mengadakan persembahan yang lebih menarik pada malam esok untuk persembahan Lawak Ke Der?. Kata bapa kepada empat orang anak itu, kumpulan Osbon tidak akan memberi persembahan yang sama kerana mereka amat menitik beratkan soal kepuasan penonton. 

“Ingat senangkah nak buat orang ketawa? Tambahan pula yang datang kena bayar dan kita pula menjadi tumpuan. Jadi sebagai tanda penghargaan kepada orang ramai yang sanggup mengeluarkan wang untuk menonton kami, sudah pasti Osbon memberi yang terbaik. “Jumaat ini tak tahulah nak bawa apa lagi atas pentas. 

Kalau minggu lalu, bawa teksi Os, kali ini tak pasti lagi. Apa pun corak persembahan kami berbeza dari minggu lalu, mahupun daripada program Maharaja Lawak,” jelasnya terperinci. Abon atau nama sebenarnya Shahrizan Ahmad, 52, berkata, Lawak Ke Der? terbitan Istana Budaya (IB) dan RG Enterprise, bukan sahaja memberi peluang kepada para pelawak tanah air menunjukkan bakat, malah mengangkat martabat mereka ke depan. Pertunjukan lawak itu turut dijayakan oleh Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, Nabil, Johan dan Zizan Raja Lawak serta Harith Iskander.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...