Sabtu, 7 Januari 2012

Taktik Baru Rumah Kediaman Di Jadikan Hotel Murah Untuk Maksiat Di Pulau Pinang


Segelintir pemilik hotel bajet di negeri ini dipercayai cuba mengaburi mata pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) dengan pelbagai taktik. Ini termasuk menggunakan rumah mewah yang diubahsuai sebagai hotel bajet tanpa kebenaran untuk mengaut keuntungan. 


Tinjauan Sinar Harian ketika operasi bersama Bahagian Penguat kuasa JAIPP mendapati rumah teres dua atau tiga tingkat dijadikan hotel. Malah bayaran dikenakan juga lebih murah dibandingkan dengan harga bilik hotel bajet sebenar iaitu RM30 hingga RM60 semalam berbanding caj yang dikenakan iaitu sekitar RM80 hingga RM100 di hotel bajet biasa. 

Tinjauan juga mendapati bilik hotel bajet yang diubahsuai ini mendapat permintaan tinggi. Menurut sumber yang enggan dikenali, rumah yang diubahsuai menjadi premis hotel bajet itu dipercayai tidak mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mahupun Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP). 

Menurutnya, pihaknya turut mencurigai sama ada pemilik hotel bajet terbabit memperoleh lesen atau tidak untuk menjalankan operasi di kawasan berkenaan. “Kami minta PBT segera siasat kewujudan premis hotel bajet ubah suai ini kerana ia mampu mengaburi mata JAIPP daripada mengambil tindakan terhadap maksiat yang berlaku di tempat seperti ini. 

“Sekiranya tiada tindakan, dikhuatiri kegiatan ini akan menjadi lebih berleluasa dan menyusahkan banyak pihak selain kami penduduk di sini,” katanya. Ketika operasi maksiat bersama JAIPP di perumahan terbabit baru-baru ini, terdapat jiran tetangga turut sama keluar melihat operasi berkenaan. 

Kebanyakan mereka melahirkan rasa tidak puas hati berikutan suasana sekeliling tidak aman seperti kawasan perumahan lain. “Setiap malam seperti hujung minggu dan kawasan kami menjadi sesak dan kadang-kadang bising. Suasana rasa tidak aman,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...