Rabu, 11 Januari 2012

Tahniah Cuepacs Memberi Pendapat Yang Memberangsangkan PENJAWAT AWAM DI BERI BORANG BARU UNTUK DITANDATANGI SEMULA


CUEPACS menggesa semua ketua jabatan yang sebelum ini mendesak kakitangan menandatangani borang penerimaan tawaran Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), diberikan borang baru untuk ditandatangani semula. 

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata ia membabitkan kakitangan awam yang menandatangani skim berkenaan sebelum 30 Disember lalu yang kebanyakannya tidak diberikan penjelasan dan pemahaman jelas berhubung skim yang ditawarkan. 


“Mereka yang dipaksa menandatangani borang tawaran tanpa tidak meneliti skim itu perlu diberikan borang baru dan menandatangani semula opsyen berkenaan. Sebelum ini, mereka diminta menandatanganinya secara terburu-buru dan tidak melihat skim serta diberikan formula kenaikan gaji yang tidak tepat.

“Jadi, kita minta ketua jabatan terbabit memberikan borang baru yang menyatakan dengan jelas lampiran skim kenaikan gaji dan gred (SPBA) supaya mereka boleh menandatangani semula kerana tempoh penerimaan skim dilanjutkan hingga 15 Januari ini ,” katanya selepas Majlis Transformasi dan Ikrar Integriti Pembantu Makmal dan Penolong Pegawai Sains Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), di Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam. 

Katanya, tindakan meminta kakitangan awam menandatangani tawaran tanpa mendapat maklumat jelas bukan saja tidak mengikut prosedur, malah ada kakitangan awam yang mendakwa ketua jabatan tidak faham serta tidak dapat memberikan penjelasan berhubung kemusykilan yang dikemukakan ketika sesi taklimat. 

Beliau berkata, pihaknya mengakui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang bertungkus lumus membuat semakan semula skim berkenaan bagi memastikan semua pihak berpuas hati, namun meminta pihak berkenaan memberikan perhatian sewajarnya bagi memastikan ia dilaksanakan dengan baik dan tidak merugikan mana-mana pihak. 

Omar berkata, JPA memberikan tempoh tiga bulan sehingga 31 Mac ini bagi membuat semakan semula dan CUEPACS akan memberikan semula taklimat berkenaan penambahbaikan dan semakan itu sebaik disiapkan oleh JPA. Sementara itu, CUEPACS turut meminta pengurusan lima IPTA penyelidikan, iaitu UPM, Universiti Malaysia (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) supaya menaik taraf jawatan Pembantu Makmal kepada Penolong Pegawai Sains bagi memastikan jawatan itu setanding dengan taraf universiti penyelidikan. 

Katanya, jawatan Pembantu Makmal sudah tidak relevan dengan taraf universiti penyelidikan kerana ia tidak mencerminkan tahap IPTA berkenaan. Beliau berkata, ketika ini ada kira-kira 700 daripada kira-kira 2,000 Pembantu Makmal yang masih belum dinaikkan taraf sebagai Penolong Pegawai Sains di IPTA berkenaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...