Sabtu, 28 Januari 2012

SU Agung: BN Tidak Terdesak Untuk Mengadakan PRU-13 Kerana Tempoh Ia Akan Berakhir April 2013


Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak terdesak untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dalam masa terdekat walaupun spekulasi terbaru menyebut ia akan diadakan menjelang Jun ini, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Sebaliknya kata beliau, tempoh bagi mengadakan PRU13 masih panjang. 

Mandat kerajaan semasa hanya akan berakhir akhir April 2013

“Kerajaan Barisan Nasional prihatin dengan permasalahan rakyat dan kita berusaha untuk meringankan beban kehidupan masyarakat dengan memberikan pelbagai bantuan dan subsidi tanpa menghiraukan kepada manipulasi atau spekulasi berkaitan tarikh PRU,” kata Tengku Adanan yang juga Setiausaha Agung Umno, dipetik Umno Online hari ini. 


Beliau berkata demikian dalam penjelasan kepada delegasi dari Britain di pejabatnya, semalam. “Kita menggunakan ruang sepenuhnya untuk pastikan apa yang dikehendaki rakyat dapat dipenuhi berdasarkan kepada perancangan yang telah digariskan dalam Bidang Keberhasilan Utama Nasional dan memastikan Pelan Transformasi Kerajaan, Pelan Transformasi Ekonomi dan Pelan Transformasi Politik mencapai matlamatnya,” katanya. 

Dalam satu wawancara yang diterbitkan Wall Street Journal pertengahan bulan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau berharap PRU13 akan dapat diadakan "tidak lama lagi" tetapi menurutnya kerajaan masih perlu membuktikan bahawa pembaharuan ekonomi berjaya memberikan kesan sebenar sebelum beliau bersedia mengembalikan semula kuasa kepada rakyat. 

Najib berkata "pilihan raya adalah satu tindakan yang perlu dilakukan berasaskan faktor keyakinan, dan ketika itulah anda melakukannya. Tetapi akhirnya ia adalah suatu keputusan yang mengikut gerak hati."

"Anda boleh memiliki semua tarikh tetapi anda mesti merasakan bahawa inilah masa yang sesuai. 

"Saya berharap ia akan menjadi satu masa yang tepat tidak lama lagi, tetapi kami masih perlu mengotakan janji-janji kami dan ini amat penting kepada rakyat untuk merasakan bahawa pembaharuan yang dijanjikan sebenarnya memberi manfaat kepada mereka," kata beliau yang menerajui kerajaan BN sejak awal 2009. 

PRU13 adalah yang pertama di bawah kepimpinannya sebagai Perdana Menteri. Dalam pertemuan dengan delegasi Britain itu, Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya turut ditanya berkaitan keadaan politik semasa dan perancangan-perancangan bagi menghadapi permasalahan agar tidak berlaku krisis besar sebagaimana di beberapa negara di Eropah dan Timur Tengah. 

“Kita adalah sebuah parti yang mempunyai struktur mantap iaitu berteraskan ahli-ahli di akar umbi yang bercambah memastikan kekukuhan sebuah kerajaan sebagaimana yang ada sejak merdeka lebih 50 tahun yang lalu hinggalah ke hari ini. 

“Teras dan kunci keamanan yang kita kecapi selama ini adalah toleransi, persefahaman, perpaduan dan ia akan diteruskan dari semasa ke semasa kerana kita percaya kesatuan dalam kepelbagaian mampu menghasilkan masyarakat 1Malaysia yang unik,” kata beliau dalam laporan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...