Sabtu, 7 Januari 2012

Seekers Musim Ke-8 Lebih Menyeramkan!


PROGRAM bercorak realiti paranormal, Seekers kembali lagi dengan penuh kejutan, lebih seram, saspens dan pasti membuat penonton meremang bulu roma dengan pelbagai perkara aneh serta mencari jawapan pada misteri paranormal. Seekers yang masuk musim ke-8, pastinya menawarkan sesuatu yang menarik pada penonton supaya kandungannya sentiasa menarik dan segar. 

Kali ini, Seekers menampilkan tiga hos baru yang memainkan peranan sebagai penyiasat paranormal iaitu Bil Azali, Syai dan pendatang baru, Ixora Chern. Lengkap dengan teknologi terkini seperti kamera infra merah, alat pandangan malam, pengesan bunyi dan haba sensitif, medan pengesan elektronik mahupun lampu suluh, mereka bertiga mula meredah tirai malam dalam usaha mereka menjejak aktiviti paranormal yang berlaku di setiap lokasi yang mereka singgah. 


Penerbit program ini, Aeizul Reeza Ismail berkata, Seekers yang bercorak realiti ini bakal memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai dunia entiti paranormal. “Kali ini, kru dan ahli penyiasat Seekers ke Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan bagi membongkar beberapa lagi aktiviti paranormal sepanjang 19 episod ia disiarkan. 

“Bukan itu saja nantikan pelbagai kejutan apabila artis tempatan seperti Black Mentor, Danny X-Factor, Kenchana Devi, Belle Ngasri, Hamdan dan ramai lagi turut bersama penyiasat Seekers berdepan dengan sebarang kemungkinan dan mencabar perasaan takut dalam diri mereka masing-masing.

“Saya pasti penonton berminat melihat sesuatu yang jarang ditemui terutama apabila berjaya dirakam secara visual ataupun bunyi. Inilah kelainan yang kami cuba sampaikan melalui rancangan ini iaitu sejauh mana perkara paranormal boleh diterima akal atau mungkin kami boleh membuktikan sesuatu di sebalik semua peristiwa aneh terjadi,” katanya. 

Sebelum menyelongkar misteri di lokasi yang mereka singgah, Bil Azali, Syai dan Ixora melakukan kajian dengan menemubual saksi di tempat kejadian dikatakan aneh. Mereka juga mengumpul data-data yang boleh dikaitkan dengan peristiwa ganjil itu sebelum membuat persediaan dan berjaga malam untuk cuba berhubung dengan sebarang kebarangkalian aktiviti paranormal.

Rancangan selama setengah jam itu bakal lebih interaktif dengan memberi peluang kepada para penonton untuk berkomunikasi di dalam ruang forum dengan cara berkongsi pengalaman mereka, lokasi mistik yang mereka ketahui serta untuk memberi cadangan yang membina. 

Benarkah aktiviti paranormal wujud di alam fana ini? Bolehkah ia diterima logik akal? Bagi maklumat lanjut, layari www.ntv7.com.my atau ikuti perkembangan terbaru kami di Facebook dan Twitter ntv7. Siri sebanyak 19 episod, bercorak realiti menyiasat, mencari serta merungkai kewujudan entiti paranormal yang berlaku di serata pelusuk negeri di Malaysia ini bersiaran setiap Khamis, jam 9 malam bermula 5 Januari lalu di Saluran Ceria Anda, ntv7.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...