Isnin, 30 Januari 2012

PRU13: PPP Minta Kerusi Untuk Bertanding Jika Boleh Menang


Parti Progresif Penduduk (PPP) hanya akan meminta kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) jika yakin dengan sepenuhnya boleh menang di kawasan berkenaan. 

Presidennya Datuk M.Kayveas berkata PPP meletakkan kemenangan sebagai keutamaan bagi membantu Barisan Nasional (BN) memenangi PRU13 dengan cemerlang. "Setiap permintaan bergantung kepada keputusan boleh menang atau tidak. 


Jika kita yakin boleh menang 100 peratus barulah kita minta. Kita tidak minta hanya hendak tunjuk boleh dapat banyak kerusi (untuk ditandingi). "Namun jika belum bersedia dan pengundi juga tidak mahu, kita tidak akan minta walaupun satu kerusi," katanya selepas merasmikan perayaan Ponggal 2012 PPP Kedah di Kuil Sri Maha Mariamman, Kampung Tupah, Bedong, dekat sini petang semalam. 

Kayveas bagaimanapun yakin Perdana Menteri akan memperuntukkan lebih daripada satu kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti yang diberikan kepada PPP pada PRU-12. "Saya telah hantar senarai kerusi Parlimen dan DUN yang dipohon kepada pengerusi BN...tunggulah sampai masanya saya akan umumkan," tambahnya. Menurut Kayveas PPP telah dapat mendaftarkan lebih 100,000 pengundi baru sebagai pengundi pada tahun lepas manakala anggota yang berdaftar sebanyak setengah juta orang. 

Beliau berkata PPP telah merangka pelbagai program, dialog, seminar dan pertemuan dengan pengundi-pengundi baru tersebut untuk memastikan mereka masih menjadi pengundi dan menyokong BN. Selain itu PPP turut memberi fokus kepada 'Misi 510' tahun ini iaitu setiap cawangan parti di seluruh negara mendapatkan 510 orang anggota baru dan memastikan mereka memberi undi kepada BN pada PRU13, katanya. 

Kayveas berkata bagi mencapai matlamat itu, PPP melaksanakan strategi berkunjung rumah ke rumah, bertemu di pasar malam, persatuan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan mengeluarkan kad keanggotaan kepada anggota berdaftar. Ketua Umno bahagian Merbok yang juga Penyelaras Parlimen Merbok, Datuk Tajul Urus Mohd Zain serta ketua-ketua parti komponen BN daripada MCA, MIC dan Gerakan turut hadir memeriahkan sambutan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...