Selasa, 3 Januari 2012

Polis Tubuhkan Satu Pasukan Khas Siasat Blog Fitnah Polis Cederakan Pelajar


Polis akan menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat dakwaan berunsur fitnah dalam beberapa blog berhubung isu beberapa mahasiswa dipukul polis dalam satu perhimpunan di pekarangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), semalam. 


Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, polis juga mempunyai bukti-bukti yang kukuh untuk menyangkal fitnah dilemparkan. "Semasa perhimpunan haram itu, beberapa jurugambar dan jururakam polis ditugaskan untuk merakamkan kejadian tersebut sebagai bukti polis tidak menggunakan kekerasan termasuk mencederakan mana-mana penuntut. 

"Oleh itu, saya telah mengarahkan satu kajian dilakukan pasukan khas tersebut bagi menunjukkan dakwaan yang dilemparkan itu adalah tidak benar," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Beliau berkata sekiranya dakwaan yang dibuat dalam blog tersebut terbukti palsu, polis akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mempastikan tuduhan memfitnah pasukan keselamatan itu tanpa usul periksa tidak berulang. 

Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata siasatan menunjukkan klinik yang dirempuh kumpulan penuntut dalam perhimpunan tersebut mengalami kerosakan dianggarkan mencecah RM10,000. 

Semalam, beliau menafikan dakwaan anggotanya menggunakan kekerasan ketika menyuraikan perhimpunan haram anjuran kumpulan penuntut Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) selepas sambutan Ambang Tahun Baru di Upsi. 

Kira-kira 70 penuntut beberapa universiti dilaporkan berhimpun tanpa kebenaran di pekarangan Upsi atas alasan menuntut kebebasan akademik dengan menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku). 

Selain itu, mereka mendesak agar penuntut Upsi, Adam Adli Abdul Halim, yang menurunkan banting berupa bendera yang tertera wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di ibu pejabat Umno 17 Disember lalu tidak dikenakan tindakan tata tertib oleh pentadbiran universiti berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...