Rabu, 25 Januari 2012

Perdana Menteri serah kunci van Skuad Sayang Wanita UMNO Kelantan


Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyempurnakan majlis menepung tawar 15 van Skuad Sayang Wanita UMNO Kelantan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini hari ini. 


Pada majlis ringkas itu, Perdana Menteri menyerahkan replika kunci dan geran van kepada Ketua Wanita UMNO negeri, Datin Rahimah Mohamad. Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Pertahanan yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin; Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Dali Hussin dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK), Datuk Makhtar Mustapha. 

Perdana Menteri sebelum itu mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri termasuk dari MCA dan MIC selama kira-kira sejam sebaik sahaja tiba pada pukul 12 tengah hari. 

Ketibaan Najib disambut lebih 200 penyokong serta ahli pergerakan Wanita UMNO yang lengkap berpakaian berwarna merah dan memenuhi ruang lobi di lapangan terbang tersebut. Beliau kemudiannya menghadiri majlis kesyukuran menyambut menantu Setiausaha Politiknya, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh yang diadakan di Jalan Hospital di sini. 

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Senator Datuk Wan Hazani Wan Mohd Nor ketika ditemui berkata, kesemua van yang bernilai lebih RM100,000 setiap satu itu akan diserahkan kepada Wanita UMNO bahagian di seluruh negeri. Jelasnya, van yang akan digunakan Skuad Sayang Wanita UMNO di setiap kawasan Parlimen itu akan memudahkan tugas penyampaian bantuan kepada akar umbi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...