Isnin, 2 Januari 2012

Pemimpin Pembangkang Dilanda 'Sindrom Hebat': Zambry


Pemimpin pembangkang dilanda 'sindrom hebat' dan merasakan diri mereka sentiasa relevan sehingga enggan menerima hakikat bahawa mereka perlu berundur apabila tiba waktunya, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. 

Beliau berkata lebih memburukkan keadaan itu ialah apabila terdapat penyokong mereka yang memikirkan pemimpin mereka sentiasa relevan untuk selama-lamanya. "Dalam dunia politik, kita perlu terima hakikat...apabila sampai masa tidak relevan, maka tidak relevanlah. Masalahnya ada orang fikir dia tetap relevan selama-lamanya. 

Ini 'sindrom hebat' sebab dia rasa dia relevan selama-lamanya," katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan pemain dan penaja skuad bola sepak Perak di kediaman rasmi Menteri Besar di sini Isnin. 


Beliau berkata demikian ketika ditanya pandangannya sama ada ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim masih relevan atau tidak dalam politik tanah air. Semalam, akhbar melaporkan kenyataan blogger Raja Petra Kamarudin bahawa Anwar yang berdepan tuduhan liwat tidak lagi relevan dalam politik dan akan berkubur jika pembangkang gagal menakluk Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang. 

Raja Petra juga menyalahkan Anwar selaku penasihat ekonomi kerajaan negeri Selangor atas ketidakcekapannya menambah baik ekonomi negeri yang ditadbir Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu. Mengulas lanjut, Zambry berkata ada golongan tertentu tidak bersedia untuk menerima kenyataan seperti apa yang dikatakan oleh Raja Petra itu. 

Katanya rakyat kini mula menyedari bahawa perjuangan bukan untuk kepentingan seseorang sebaliknya ia adalah untuk gagasan terhadap keperluan seperti wujudnya sebuah kerajaan yang mentadbir dengan baik dan sebagainya. 

Beliau berkata Barisan Nasional (BN) Perak sentiasa bekerja untuk rakyat kerana rakyat yang menilai khidmat mereka dan mempunyai hak untuk memilih parti politik untuk menerajui pentabiran kerajaan. "Kita (BN) juga menyedari walaupun ada parti yang menjadi alternatif kepada rakyat namun pada akhirnya hanya ada satu parti politik yang benar-benar bekerja, menyokong dan menyumbang kepada rakyat," katanya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...