Sabtu, 21 Januari 2012

Masyarakat Cina Terus Beri Sokongan Padu Kepada Kerajaan Barisan Nasional




Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menggesa masyarakat Cina terus memberikan sokongan kepada kerajaan yang telah terbukti, diuji dan mempunyai rekod perkhidmatan baik dalam membangunkan negara ini. 

Chua berkata dengan realiti memeritkan di mana negara sedang berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi, ini merupakan masa untuk semua rakyat Malaysia bersatu daripada bereksperimen. "Dalam berdepan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, tidak terdapat ruang untuk orang bereksperimen. 


Kerajaan yang kukuh dan efektif bergantung kepada kepercayaan yang diletakkan oleh rakyat ke atas dasar-dasar yang telah dirancang dengan teliti untuk mengatasi kebimbangan negara," katanya dalam perutusan Tahun Baru Cina, Jumaat. "Ini amat penting berikutan pilihan raya umum ke-13 bakal diadakan. 

Rakyat khususnya masyarakat Cina sepatutnya tidak cuba melakukan tindakan keseimbangan untuk melakukan sekatan dan imbangan terhadap kerajaan. "Dengan tindakan terburu-buru seumpama itu, mereka mungkin memilih kerajaan yang salah," katanya. Beliau berkata perkongsian rakyat amat penting dalam memastikan kerajaan menerima sokongan padu dalam melaksanakan pelbagai perancangan dan program demi kebaikan rakyat. 

Chua berkata negara memerlukan iklim yang kondusif untuk semua jenis perniagaan mencatatkan kejayaan supaya ekonomi akan terus mencatatkan pertumbuhan baik. "Kita telah memberikan buah fikiran dan bekerjasama dengan kaum-kaum lain untuk mengharungi tempoh mencabar ini dengan jayanya. 

Kita tidak sepatutnya berpecah dalam usaha kita untuk memakmurkan Malaysia," katanya. Beliau berkata semua rakyat Malaysia perlu berdaya tahan dalam mengharungi tempoh sukar ini dan keadaan lebih baik pasti akan menjelma tidak lama lagi. "Kita tidak boleh berpeluk tubuh dan mengharapkan keajaiban berlaku," katanya. 

Chua berkata musim perayaan merupakan masa yang tepat untuk semua kaum di negara ini meningkatkan pengetahuan mengenai adat resam, kebudayaan, amalan tradisi dan agama yang dianuti jiran, rakan sekerja dan rakan-rakan. Beliau menasihatkan mereka yang akan pulang ke kampung halaman masing-masing supaya memandu dengan berhati-hati dan selamat dan mematuhi had laju pada setiap masa.

"Mari kita doakan Tahun Naga ini akan membawa kecemerlangan kepada ekonomi dan kestabilan politik negara dan masa depan lebih baik untuk semua rakyat Malaysia," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...