Khamis, 12 Januari 2012

Letupan 901: Polis Tawar RM10,000 Kepada Sesiapa Yang Dapat Cari Dalang Dalam Letupan Bom Tersebut


Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar menawarkan ganjaran RM10,000 kepada sesiapa yang dapat membantu polis mengesan individu yang meletakkan bom buatan sendiri di pekarangan kawasan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, Isnin lalu. Tiga letupan ketika perhimpunan 901 itu menyebabkan lima orang tercedera. 

Ismail berkata, perbuatan itu sangat tidak bertanggungjawab dan menimbulkan ketakutan di kalangan orang ramai.“Walaupun ia bukan bom dan diperbuat daripada bahan yang tidak begitu bahaya, ia tetap meninggalkan kesan buruk kepada masyarakat.


“Pada masa yang sama, hal ini secara tidak langsung turut menjejaskan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan berdaulat,” katanya selepas Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan PDRM bagi melaksanakan program Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini. 

Beliau berkata, sebelum ini polis memberi peluang untuk perhimpunan itu dijalankan atas semangat perhimpunan aman, tetapi perkara sebaliknya berlaku. Menurutnya, pada masa akan datang, beliau perlu menilai semula perkara ini (perhimpunan) agar kejadian sama tidak berulang. 

“Walaupun begitu, kita serius untuk memberikan ganjaran berjumlah RM10,000 kepada mereka yang dapat membantu polis menjalankan siasatan bagi menjejaki individu yang bertanggungjawab dalam kes letupan terbabit,” katanya. 

Dalam perkembangan sama, Ismail berkata, beliau kesal dengan sikap pihak-pihak tertentu yang membuat tuduhan liar mengatakan polis adalah dalang kepada kejadian letupan yang berlaku. Katanya, semua tuduhan dilemparkan adalah tuduhan tidak berasas serta tidak bertanggungjawab. 

“Apa jua tindakan yang dibuat, kita (polis) dituduh sebagai orang jahat. Tohmahan itu seolah-olah menuduh Ketua Polis Negara sebagai orang jahat dan saya minta tolong hentikan perkara ini,” katanya. Beliau berkata, sesiapa sahaja yang bertanggungjawab terhadap kejadian letupan itu diingatkan bahawa mereka tidak akan terlepas kerana polis akan mengambil tindakan sewajarnya apabila bukti mencukupi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...