Isnin, 30 Januari 2012

Cuepacs Mahu Buat Demo Jika JBA Terus Dikorporatkan


Seramai 1,700 pegawai dan kakitangan Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang akan mengadakan bantahan jika permintaan mereka agar pengkorporatan dan penswastaan agensi itu pada 1 Feb ini ditangguhkan, tidak dipedulikan.


Presiden Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berkata penangguhan itu perlu kerana mereka belum mendapat penerangan dan maklumat lengkap mengenai rasional cadangan pengkorporatan serta penswastaan tersebut. "Cuepacs tidak ada pilihan lain kecuali akan bertindak mengadakan bantahan besar-besaran yang membabitkan semua kakitangan JBA Pahang sekiranya pengkorporatan ini diteruskan kerajaan, walaupun ia mendapat bantahan rakyat.

"Saya merayu bagi pihak kakitangan JBA Pahang supaya Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob menggunakan kuasanya untuk menangguhkan pengkorporatan ini sebelum semua isu berbangkit dapat diselesaikan demi faedah kedua-dua pihak," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penerangan Pemindahan Gaji Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan pengkorporatan JBA Pahang anjuran Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja (KKPP) Jabatan Bekalan Air di Bangunan Persekutuan di Temerloh Sabtu lalu. 

Hadir sama Presiden KKPP Jabatan Kerja Raya dan Air Pahang Sayuti Dollah. Omar juga berkata penangguhan pengkorporatan itu adalah wajar kerana tiada langsung rundingan rasmi setiap wakil kesatuan yang terlibat sedangkan ia membabitkan masa depan kakitangan JBA Pahang. Beliau berkata 80 peratus daripada kakitangan JBA di Pahang menandatangani surat opsyen persetujuan tanpa mengetahui butiran perkhidmatan terbaru atas arahan ketua jabatan masing-masing. 

Omar berkata ketika ini, SBPA dikaji semula bagi memastikan semua pihak mendapat faedah tanpa mengabaikan mana-mana kakitangan, khususnya dalam aspek gaji, kekananan dan sebagainya. "Sepatutnya, pihak berkenaan terlebih dahulu menyelesaikan isu SBPA sebelum meneruskan agenda pengkorporatan JBA Pahang secara tergesa-gesa sehingga menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak, khususnya kakitangan JBA Pahang sendiri," katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...