Rabu, 7 Disember 2011

SPBA Memperkenalkan Dasar Keluar Pada Penjawat Awam



Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dilaksanakan mulai tahun depan bakal menguatkuasakan "dasar keluar" bagi penjawat awam yang berprestasi rendah atau yang ingin bertukar ke agensi lain termasuk swasta. Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berkata buat permulaan dasar itu melibatkan penjawat awam Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan penilaian dibuat berdasarkan laporan prestasi tahunan serta Pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) penjawat awam berkenaan. 


Kumpulan Pengurusan dan Profesional melibatkan penjawat awam Gred 41 ke atas. "Ia bagus kerana di bawah dasar baru tersebut penjawat awam tidak akan hilang status pencen serta faedah lain yang layak diterima," katanya kepada Bernama selepas taklimat isu semasa Cuepacs untuk ketua-ketua jabatan dan penjawat awam negeri ini di Bangunan Sultan Iskandar Selasa. 

Omar berkata berbeza dengan Skim Saraan Malaysia (SSM) pada masa ini yang membenarkan penjawat awam untuk pencen awal pada umur 40 tahun, SBPA membenarkan penjawat awam berbuat demikian lebih awal tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang akan ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). 

Katanya dasar baru itu memberi ruang kepada penjawat awam untuk bertukar kerjaya sama ada berkhidmat di agensi lain seperti Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) atau swasta yang sedia ada sekarang. "Dasar ini bagus kerana mungkin penjawat awam tersebut boleh meningkatkan produktiviti di sektor lain yang dirasakan sesuai untuk mereka," katanya. 

Mengenai tarikh pelaksanaan SBPA, Omar berkata Cuepacs memohon kepada kerajaan sistem itu dikuatkuasakan serentak dengan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (Prospek) bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bermula 1 Januari 2012 namun tarikh pelaksanaan sebenar belum dipastikan kerana Cuepacs akan bertemu JPA pada 1 Nov ini untuk perbincangan dan taklimat lanjut SBPA. 

Terdahulu semasa sesi taklimat, beliau berkata dua komponen Prospek bakal diperkenalkan iaitu Penilaian Khas Kompetensi (PKK) dan Program Pembangunan Potensi (PBR) melibatkan gred 17 ke atas manakala gred 16 ke bawah hanya memerlukan penjawat awam kategori berkenaan menghadiri kursus selama tujuh hari. 

Katanya tiada langsung peperiksaan dan PKK akan dinilai oleh penyelia atau ketua jabatan manakala PBR dikendalikan bersama dengan wakil daripada Cuepacs. Beliau memberi jaminan penjawat awam yang layak mengikuti PBR dinaikkan pangkat secara automatik kerana mereka hanya akan dipanggil mengikuti kursus PBR berdasarkan kekosongan jawatan. 

"Sebagai contoh, jika ada 30 jawatan kosong maka 30 calon akan dipanggil mengikuti PBR dan bukan seperti amalan sedia ada sekiranya ada tiga jawatan kosong maka lebih 10 atau 20 dipanggil untuk temuduga atau menduduki peperiksaan walaupun yang diisi hanya tiga sahaja. Ini membuang masa dan merugikan wang kerajaan," katanya. 

Omar berkata di bawah SBPA, Kumpulan Sokongan 1 dan 2 akan dikenali sebagai Kumpulan Pegawai Pelaksana 1 dan 2 selaras dengan tugas-tugas tambahan yang bakal dilakukan selain daripada tugas hakiki sekarang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...