Ahad, 18 Disember 2011

Pembangkang PR Berpaut Di Dahan Yang Rapuh


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, asas pakatan yang rapuh termasuk perbezaan ideologi dalam kalangan parti pembangkang menjadi punca mereka menghadapi pelbagai masalah sesama sendiri. 

Beliau berkata, pakatan seperti itu tidak boleh bertahan lama kerana kerjasama antara pakatan pembangkang hanyalah membenci Barisan Nasional (BN). "Tapi itu tak boleh menjadi asas untuk bertahan lama sebab bila mereka ada perbezaan pendapat dan pendirian yang begitu fundamental maka lambat-laun akan timbul percanggahan yang ketara antara satu sama lain," katanya. 


Presiden UMNO itu berkata demikian selepas melancarkan Kelab MyAgrosis Peringkat Kebangsaan dan Perhimpunan Perdana Usahawan Belia Siswazah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, dekat sini hari ini. Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. 

Perdana Menteri mengulas mengenai perkembangan politik membabitkan parti-parti pembangkang yang dilihat menghadapi pelbagai masalah termasuk dalam usaha untuk bekerjasama antara mereka. Najib berkata, pakatan rapuh itu berbeza dengan BN yang sentiasa bekerjasama kerana mempunyai satu dasar sahaja yang diterima oleh semua parti komponen. 

"Inilah sebabnya, pakatan mereka rapuh tidak seperti BN kerana kita ada satu dasar sahaja dan dasar itu diterima oleh semua parti komponen BN," jelasnya. Ditanya mengenai persiapan menghadapi pilihan raya, beliau berkata, Perhimpunan Agung UMNO lalu menyuntik semangat ahli-ahli parti tersebut kepada tahap yang begitu tinggi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

"Saya berharap mereka akan membawa (semangat itu) ke kawasan masing-masing dan teruskan usaha kita untuk memperkukuhkan jentera pilihan raya dan buat kerja seperti diarahkan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...