Rabu, 7 Disember 2011

Pegawai Atasan Jusa Dan Turus (PTD) Mohon Bantuan Daripada PAS Adakah Kakitangan Kerajaan Atasan Sokong PAS



PAS hari ini mendesak kerajaan membatalkan hasrat mengubahsuai skim jawatan utama perkhidmatan awan peringkat JUSA dan Turus untuk membolehkan kepakaran luar termasuk dari sektor swasta diambil masuk. 

Naib presidennya Datuk Mahfuz Omar berkata jika tindakan itu dilaksanakan, maka kerajaan bakal berdepan dengan kemarahan pegawai perkhidmatan awam yang lain. "Kerajaan akan berhadapan dengan (kemarahan) pegawai sektor awam. 


Mereka tidak akan berdiam diri, sebab soal masa depan mereka. "Jika kerajaan tidak membatalkan hasrat itu, kerajaan akan berhadapan dengan kebangkitan (mereka) khususnya dari kumpulan Pegawai Tadbir dan Diplomatik," katanya. 

Bercakap  dalam  sidang  media  itu  juga, Mahfuz   berkata  kabinet   juga  perlu  membatal
cadangan tersebut, sebagai menghormati dan menghargai pegawai pentadbiran awam yang lain. "Kerajaan kena jaga ransangan dan motivasi pegawai pentadbiran awam. "Buka kepada sektor swasta, motivasi mereka akan jatuh," katanya yang ahli parlimen Pokok Sena. 

Mahfuz mengulas laporan yang menyebut semua ketua setiausaha kementerian akan dikehendaki meletak jawatan dan memohon semula jawatan mereka secara kontrak. Selain itu juga, turut dilaporkan mana-mana pekerja sektor swasta yang berminat mengisi Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dari JUSA C dan sehingga ke peringkat tonggak, Turus boleh berbuat demikian. 

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata tindakan kerajaan membuka peluang kepada kepakaran luar, juga boleh ditafsirkan sebagai "perlantikan politik" dari kalangan pemimpin politik. Dakwanya, ia boleh berlaku sebagai cara untuk menyelamatkan mereka dari mensabotaj parti, lalu dilantik mengetuai kementerian atau kementerian tertentu. 

Tegasnya, tindakan tersebut menggambarkan kerajaan mengalami "krisis kepercayaan politik" kepada pegawai kerajaan yang lain. "Peluang PTD yang berada di bawah, yang muda-muda, mereka tidak mungkin berpeluang untuk menduduki jawatan JUSA seperti Ketua setiausaha kementerian-kementerian sehingga jawatan ketua setiausaha negara. "Dengan tindakan ini, tidak ada kepercayaan kerajaan penjawat awam untuk mengisi jawatan tersebut, apabila dipimpin oleh orang yang tidak ada pengalaman untuk mentadbir," katanya. 

Dengan nada menyindir, jika ia berlaku, kemungkinan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tony Fernandes atau Pengerusi Eksekutif Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) boleh dilantik sebagai ketua pengarah perkhidmatan awam, atau ketua setiausaha negara. Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai "proses penswastaan pentadbiran awam" Mahfuz berkata langkah berkenaan akan "melumpuhkan sektor" awam kerana menjatuhkan motivasi pegawai kakitangan awam dan Institut Latihan Perkhidmatan Awam (INTAN) dilihat tidak berguna lagi. 

"Ini mengakui bahawa INTAN gagal, untuk apa dikekalkan INTAN, lebih baik tutup," katanya. Mahfuz turut mempersoalkan apakah jaminan kerajaan bagi pihak luar yang dilantik ke jawatan tersebut untuk menjaga kerahsiaan kerajaan dan negara. Sehubungan itu, Mahfuz berkata bagi mengatasi isu tersebut, beliau mencadangkan supaya memperbaiki proses perlantikan dengan mengutamakan pencapaian dari pegawai penjawat awam. 

"Bukan (dipilih dan dilantik) dengan kabel politik atau (mempunyai hubungan) dengan peringkat yang lebih atas. "Kita baiki proses memilih, elak daripada kabel politik, kerana ia akan merosakkan pentadbiran awam," katanya. Bahkan, katanya, PAS akan membawa perkara itu ke pengetahuan Majlis Raja-raja, kerana perkara tersebut juga melibatkan bidang kuasa raja-raja. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...