Rabu, 21 Disember 2011

Pas Telah Jauh Tersesat Melarang Umat Islam Sembahyang Jumaat Berjemaah



Pemimpin Pas terutama Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu berjiwa besar bagi memperbetulkan sikap pengikut yang terus berpegang kepada amanatnya yang mengkafirkan UMNO lebih dua dekad lalu. 

Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, solat Jumaat di masjid berasingan dalam satu kariah merupakan sisa kepada kempen melampau untuk mendapatkan sokongan umat Islam ketika itu. 


''Datuk Seri Abdul Hadi merupakan individu yang mengeluarkan fatwa di Banggol Peradong pada tahun 1986 perlu memikul tanggungjawab untuk memperjelaskan kepada pengikutnya agar perpecahan sekian lama tidak berlarutan. 

"Sebagai pemimpin Islam berjiwa besar apa salahnya memberitahu pengikut bahawa pegangan selama ini adalah tidak betul apatah lagi Pas juga sudah menjalin bekerjasama dengan parti bukan Islam, " ujarnya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Gerakan Membaja Risda Peringkat Daerah Besut di Kampung Bukit Bunga dekat sini hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Nawi Mohamad dan Timbalan Pengarah Risda negeri, Faridah Haryati Mohamad Yusof. Idris berkata, Abdul Hadi tidak boleh lepas tangan dalam menyelesaikan kemelut yang berlarutan sejak sekian lama dan mendapat perhatian Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Aibdin baru-baru ini. 

Katanya, pemimpin Pas juga perlu memberitahu pengikutnya bahawa fatwa tersebut tidak lagi relevan memandangkan Pas kini sudah bekerjasama rapat parti bukan Islam terutama DAP manakala perjuangan menegak negara Islam telah mereka sisihkan. 

Menurutnya, sebelum ini Pas menggunakan isu kerjasama dengan parti bukan Islam untuk menolak UMNO dan kerana itu imam dari kalangan orang UMNO dianggap tidak boleh mengimamkan solat di masjid kerajaan. 

Keadaan itu, menurut beliau, boleh menimbulkan perpecahan dalam kalangan masyarakat terutama di Besut sehingga mendorong ramai pengikut Pas dan pemimpin mereka mendirikan solat Jumaat di surau dan markas parti. Idris berkata, semasa beliau menjadi Menteri Besar, usaha pernah dilakukan dengan memanggil pemimpin Pas untuk berbincang bagi mengatasi masalah tersebut tetapi usaha yang dibuat menerusi pejabat agama dipandang sepi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...