Selasa, 6 Disember 2011

BN Harus Ketengahkan Calon Calon Muda Untuk Menerajui PRU-13 Yang Akan Datang



Semua pemimpin terutama wakil rakyat Barisan Nasional (BN) perlu menyerahkan kepada pucuk pimpinan memilih calon baru menggantikan mereka pada pilihan raya umum akan datang, jika merasakan rakyat sudah menolak mereka. 

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata ada pemimpin bertanding sebanyak tujuh atau lapan kali, dan sebab itu mereka perlu menilai diri kali ini sama ada mereka calon yang boleh menang atau sebaliknya. 


Katanya, UMNO kali ini menumpukan kepada calon yang mempunyai ramai penyokong sebagaimana disyaratkan Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak, sekali gus menjadikannya sebagai calon yang berupaya menang. “Calon yang bakal UMNO ketengahkan nanti hendaklah tokoh yang mendapat sokongan ramai, bukannya mereka yang hanya disukai sebahagian saja rakyat negeri ini kerana itu tidak boleh mencerminkan kemenangan. 

“Kita mahu semua pihak supaya sentiasa cermin diri masing-masing serta bermuhasabah diri supaya pilihan raya umum akan datang, Kelantan mampu dikuasai UMNO kembali. “Kita sedar ada yang sudah beberapa kali bertanding dan masih diterima rakyat, namun sekiranya ada pihak yang ditolak (rakyat), mereka harus menyerah kepada pihak yang berkeupayaan terutama calon atau bakat baru,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Agrobank cawangan Kubang Kerian, di sini, semalam. 

Pada majlis itu, Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Wan Mohd Fadzmi Wan Othman menyerahkan cek untuk zakat bank itu bernilai RM47,863 kepada wakil Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Mustapa berkata, sudah tiba masanya, UMNO negeri mencari bakat baru terutama golongan muda bagi mengisi kekosongan orang lama. 

“Orang muda adalah penting yang akan mengambil alih pucuk pimpinan nanti dan berharap akan wujud barisan pelapis golongan berkenaan unggul bagi mengganti pemimpin lama,” katanya. 

Sementara itu ketika ditanya mengenai kenyataan seorang penceramah ‘ustaz budak’ yang disiarkan dalam beberapa laman web, yang didakwa menyamakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, sebagai nabi, Mustapa menyifatkan itu sebagai sudah terpesong dari akidah Islam. 

“Kenyataan itu sudah terkeluar dari ajaran Islam dan sudah boleh dianggap terpesong dari akidah sekiranya ia benar-benar berlaku. Ia adalah satu perbuatan yang taksub sehingga sanggup menyamakan seseorang itu dengan Nabi,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...