Selama ini Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kelihatan hebat ketika memberi ceramah di atas pentas politik tetapi apabila diberi peluang, beliau enggan menjawab beberapa kritikan terhadapnya ketika mengambil bahagian dalam debat MCA-DAP di Berjaya Times Square di sini hari ini.
Dalam debat selama satu jam sempena Persidangan Masyarakat Cina di Persimpangan Politik itu, Setiausaha Agung DAP tersebut bukan sahaja 'gagal' menjawab beberapa soalan peserta persidangan, malah cuba berdolak dalik termasuk sentiasa menyalahkan Kerajaan Pusat sepanjang perdebatan itu.
MCA diwakili oleh Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek pada debat itu yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Tan Ah Chai.
Terdahulu, pihak penganjur telah menetapkan beberapa garis panduan termasuk membenarkan peserta persidangan mengajukan soalan kepada kedua pendebat tersebut.
